1. Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) telah memutuskan dan mengambil ketetapan berkaitan isu “TUNTUTAN TUNGGAKAN HUTANG PERTUBUHAN PELADANG KEBANGSAAN (NAFAS) KEPADA PPNS”

2. Dalam satu surat kepada Pengurus Besar NAFAS bertarikh 28 Disember 2023, PPNS memaklumkan bahawa sehingga tarikh surat tersebut, pihak PPNS masih belum menerima apa-apa bayaran daripada NAFAS berkaitan tuntutan tunggakan hutang sewaan gudang, kerja-kerja gudang serta kerja-kerja lain yang berkaitan antara PPNS dan NAFAS.

3. Satu sesi perbincangan antara PPNS dan NAFAS juga telah berlaku pada 12
Julai 2023 dan dipersetujui oleh Timbalan Pengurus Besar NAFAS, En. Saripol
Bahrin bin Karim untuk melunaskan segala hutang NAFAS kepada PPNS
berkaitan isu sewaan gudang ini dan beliau seharusnya bertanggunjawab
dengan janjinya untuk menyelesaikan isu ini secara baik.

4. Surat maklumbalas daripada Pengurus Besar NAFAS bertarikh 12 Disember 2023 juga tidak menjawab kepada perkara yang telah dibangkitkan oleh pihak PPNS dan tiada sebarang tindakan penyelesaian untuk hutang-hutang tersebut.

5. Pengurusan NAFAS serta barisan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS disarankan untuk mengambil berat perkara ini dan juga sikap segelintir pegawai NAFAS yang gagal menjalankan fungsinya dan menjejaskan pergerakan Pertubuhan Peladang keseluruhanya. Perkara ini dapat dilihat berikutan tindakan Pegawai Perolehan NAFAS bersama-sama Pengurus Baja NAFAS secara jelas mengetepikan keutamaan Pertubuhan Peladang khususnya PPNS dengan tindakan mengutamakan syarikat luar untuk mengendalikan gudang penyimpanan baja di Sabah.

6. Oleh yang demikian, seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, perjanjian
sewaan oleh PPNS dengan pemilik gudang akan tamat pada Disember 2023. Pihak NAFAS juga tidak memberikan sebarang pengesahan berkenaan kontrak Perkhidmatan Kerja-Kerja Pergudangan di Sabah akan dipulangkan semula kepada PPNS walaupun telah diluluskan oleh barisan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS.

7. Sehubungan dengan itu, Ahli Jemaah Pengarah PPNS tanpa prejudis memutuskan untuk melaksanakan tindakan penyelesaian seperti yang telah dinyatakan dalam surat PPNS kepada NAFAS bertarikh 30 November 2023, seperti berikut:

i- PPNS akan menjual semua baki stok baja yang terdapat di dalam gudang yang di sewa.
ii- Hasil jualan tersebut akan digunakan oleh PPNS untuk bayaran semua tunggakan tuntutan hutang kepada pemilik gudang serta bayaran untuk kerja-kerja lain yang berkaitan antara PPNS dan NAFAS.

8. Keputusan ini terpaksa diambil oleh PPNS kerana pihak NAFAS tidak menunjukkan sebarang komitmen dan kesungguhan untuk menyelesaikan perkara berbangkit.

9. Tindakan ini juga bagi mengelakkan pihak PPNS daripada terus menerus menanggung kerugian yang akan memberi kesan secara langsung kepada seluruh warga peladang di Sabah.

PERTUBUHAN PELADANG NEGERI SABAH.
30 DISEMBER 2023