KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM16.89 juta untuk
melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan bagi membangun dan memperkasa belia di Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, tahun lalu sahaja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.48 juta
kepada Persatuan Belia di Sabah yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan
Sabah (KBSS), dengan sebanyak RM1.2 juta dikhususkan kepada Majlis Belia Sabah
(MBS) untuk melaksanakan program pembangunan belia.

Menurutnya, tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM100.17 juta untuk
perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited terhadap pembangunan belia di negeri ini
kerana mahu melahirkan generasi belia yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan
kepemimpinan bagi mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi.

“Pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan pertumbuhan
ekonomi negeri. Pentingnya ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk
menyokong peralihan sektor ekonomi ke aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan
inovasi”, katanya pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-26 dan
Malam Apresiasi MBS di Pacific Sutera Harbour Resort pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya,
Datuk Ir. Shahelmy Yahya.

Hajiji berkata, belia perlu dipersiapkan dengan ilmu, kepimpinan dan kemahiran agar
mereka mampu memimpin dan membawa masyarakat kepada kebenaran dan keadilan.
Justeru katanya, amat penting kekuatan setiap agensi yang terbabit dalam pembangunan belia diselaraskan dan dilaksanakan mengikuti keperluan setempat bagi menyantuni para belia mengikut kesesuaian potensi dan kemahiran mereka.

 

“Saya berharap organisasi belia di negeri ini dapat terus diperkasakan agar lebih ramai
yang mendapat manfaat daripada organisasi belia. Penekanan terhadap integriti perlu
dipertingkatkan agar sesebuah organisasi dapat berjalan dengan lancar dan mencapai
objektifnya”, tegasnya.

Beliau percaya apabila golongan belia mampu menguruskan sistem dengan baik, maka
sesebuah organisasi itu mampu untuk mendepani masa depan dengan baik. Banyak
cabaran di hadapan yang memerlukan belia yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan
kemahiran untuk menangani isu-isu sebenar dunia.

“Dalam hal ini, belia perlu mengambil manfaat untuk berkolaborasi dengan sebanyak
mungkin organisasi bagi mencari solusi dan penyelesaian untuk masyarakat sejagat”,
katanya.

Hajiji juga mahu MBS selaku rakan strategik KBSS dan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah bersama-sama memainkan peranan penting dalam
menggembleng potensi belia Sabah sama ada di bandar atau luar bandar.-pr/BNN