TUARAN: Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah dan Projek Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan yang diluluskan kerajaan negeri pada tahun ini, antara usaha diambil untuk memulihara dan melindungi warisan budaya sebagai lambang ketamadunan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kedua-dua projek
baharu itu diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12
(RMKe-12) .

Katanya, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi projek Pembangunan Sistem
Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah manakala Kajian Restorasi Bangunan
Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan membabitkan peruntukan sebanyak
RM200,000.

“Projek pemetaan ini bertujuan mentransformasikan kaedah pengurusan maklumat
budaya etnik Sabah kepada sistem maklumat moden selaras dengan Pelan
Pendigitalan Kerajaan.

“Kajian itu pula bakal menyaksikan pembangunan semula bangunan bersejarah –
Pejabat British North Borneo Chartered Company yang ketika dahulu musnah oleh
kebakaran.

“Bangunan ini juga bertujuan memulihara dan melindungi tapak dan bangunan
bersejarah, selain akan menjadi galeri seni budaya yang penting di Sabah. Kedua-dua
projek ini merupakan projek baharu dan dipertanggungjawabkan kepada Lembaga
Kebudayaan Negeri Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun
Bajausama Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok
Batik Tuaran pada Rabu.

Hajiji berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan jumlah
pelancong ke Sabah yang dijangka mencecah tiga juta orang pada tahun ini, dapat
dicapai.

Menurutnya, selain keseniaan dan kebudayaan, produk pelancongan seperti
Pelancongan Berasaskan Komuniti merupakan segmen ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian dari pelbagai lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau juga menggesa persatuan-persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan dan
memartabatkan budaya etnik dan produk pelancongan berasaskan komuniti di kawasan
masing-masing, selain bekerjasama memperkasa dan memulihara warisan budaya
etnik Sabah.

Hajiji berkata, keistimewaan dan keunikan Sabah yang mempunyai kepelbagaian
warisan, etnik, budaya dan kaum, merupakan aset yang penting sebagai tarikan
pelancong dan perlu terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan
masyarakat negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berharap Festival
Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah yang berlangsung selama empat hari sejak
Ahad lalu, menjadi medan untuk memulihara khazanah budaya di negeri ini.

“Ia juga sejajar dengan objektif penganjuran festival ini iaitu untuk memulihara dan
memartabatkan budaya tradisi serta mengeratkan silaturrahim dalam kalangan
penduduk setempat”.

“Festival ini yang telah pun dimasukkan ke dalam kalender pelancongan, tidak hanya
dihadiri oleh rumpun Bajausama malah turut dimeriahkan oleh semua lapisan
masyarakat berbilang kaum dan keturunan di negeri ini”, tegasnya.

Katanya, festival itu juga merupakan medium yang dapat menarik minat generasi muda
terlibat sama dalam pelbagai acara keseniaan dan kebudayaan rumpun Bajausama di
negeri ini.-pr/BNN