TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Pihak
Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) bekerjasama dengan
agensi strategik kerajaan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan pihak
swasta untuk membangunkan sumber ekonomi baharu bagi Sabah.

“Kita mesti berupaya melakukan lonjakan paradigma dalam proses pembangunan
sosio-ekonomi negeri,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat
Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik di sini hari ini.

Ketua Menteri, yang juga pengerusi SEDIA berkata sudah tiba masanya untuk Sabah
tidak lagi bergantung kepada sumber ekonomi sedia ada seperti kelapa sawit, minyak
dan gas serta getah untuk mempelbagaikan sumber ekonomi.

“Kita harus mengambil manfaat sepenuhnya aktiviti penyelidikan, pembangunan dan
pengkomersilan,” katanya.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekspot utama
negeri Sabah pada tahun 2022 ialah minyak kelapa sawit berjumlah RM21.1 billion;
manakala Gas Asli Cecair atau LNG, RM5.2 billion; petroleum mentah RM30 billion; dan
minyak isirung sawit RM3.1 billion, sementara barangan ekspot yang lain yang
merangkumi pelbagai barangan sama ada yang mentah atau yang diproses bernilai
RM3.5 billion.

“Ini membuktikan bahawa kita perlu mengenal pasti pasaran yang lebih luas ke atas
barangan ekspot bukan komoditi. Kita juga perlu meningkatkan pengeluaran barangan
bukan komoditi yang berpotensi tinggi untuk diekspot,” katanya.

Hajiji turut menyarankan agar pusat-pusat kajian dan penyelidikan di Sabah memainkan
peranan dalam membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, pengeluaran
produk-produk bernilai tinggi dan punya nilai untuk didagang dan pastinya ia boleh
meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan bagi negeri ini.

“Terdapat lebih daripada 21 pusat kajian dan penyelidikan di negeri ini. Kita boleh
menggunakan kajian mereka untuk membangunkan aktiviti hiliran Sabah,” katanya.

 

Hajiji berharap hasil kajian yang telah, akan atau sedang dijalankan oleh SEDIA dapat
digunakan sepenuhnya oleh agensi kerajaan yang berkepentingan.

Antara kajian-kajian tersebut ialah Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau;
Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau; SDC-Kajian Pembangunan
Ekonomi di Sempadan Sabah; SDC-Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan
Perniagaan POIC Sandakan; SDC-Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon
Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu dan;Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah.

“Saya mahu semua penemuan dan hasil dari kajian-kajian yang dilakukan dapat digunakan oleh banyak pihak bukan sahaja sebagai asas untuk mengesyorkan projek-
projek pembangunan tetapi sebagai rujukan untuk pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.

Selepas mesyuarat, Ketua Menteri berbuka puasa dengan ahli lembaga SEDIA, ketua-
ketua masyarakat serta ketua-ketua masjid dan surau di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah.-pr/BNN