KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah komited untuk memperkukuhkan kerjasama dan memperkasakan gerakan Pemuda PH Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa. Pemuda PH Sabah akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perjuangan PH Sabah terus relevan di hati rakyat.
Dalam satu kenyataan, mereka berkata setiap pergerakan Pemuda parti komponen akan menjadi penyampai mesej atau informasi berhubung usaha, dasar-dasar dan polisi-polisi Kerajaan Madani.
Dalam masa sama, Pemuda PH Sabah juga menolak berita palsu atau fitnah yang sengaja direka oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Hasil perbincangan mesyuarat Pemuda PH Sabah yang diadakan hari ini turut menyentuh mengenai pendirian menolak keras fahaman politik ekstrim yang berkaitan isu 3R.
Pemuda PH Sabah berharap, pihak berkuasa perlu bertindak tegas, pantas dan cekap dalam perkara ini kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan huru hara sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya.
Perbincangan turut menyentuh mengenai isu kos sara hidup yang perlu dijadikan salah satu isu keutamaan Kerajaan Madani.
Pemuda PH Sabah turut menuntut agar hak-hak Sabah terus dihormati dan dilaksanakan terutamanya melibatkan isu 40 peratus hasil cukai.
Meja bulat perbincangan turut bersama bersetuju agar tindakan persempadanan semula Parlimen Sabah dan Sarawak dilaksanakan secepat mungkin dan kami menuntut komposisi 1/3 dalam Dewan Rakyat.
Akhir sekali, pergerakan Pemuda daripada semua parti komponen PH Sabah memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui Kerajaan Perpaduan.
Perkara itu diputuskan hasil perbincangan Pemuda PH Sabah. Kenyataan di keluarkan bersama oleh Vivian Wong Ketua Dapsy (DAP Sabah), Zaidi Jatil Ketua Angkatan Muda Keadilan ( PKR Sabah), Felix Joseph Saang Ketua Pemuda UPKO Pusat dan Salleh Jatil
Ketua Pemuda Amanah Sabah.-pr/BNN