KOTA KINABALU: Operasi Ops Gempur Raya 2024 bagi Negeri Sabah telah diadakan bermula 17 Mac hingga 5 April 2024 ke atas premis di beberapa kawasan di Negeri Sabah.
Seramai 32 orang pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah telah terlibat dan 7 pasukan telah dibentuk untuk menyertai Ops ini.
Menurut kenyataan dari JAS Objektif Ops Gempur Raya ini adalah bagi mencegah pencemaran alam sekitar sempena musim perayaan dan memastikan pihak industri khususnya sentiasa mematuhi kehendak perundangan alam sekitar dalam mereka menjalankan operasi premis.
Selain itu, ianya juga menunjukkan keseriusan Jabatan Alam Sekitar dalam membenteras dan mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang melanggar perundangan alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-
peraturan di bawahnya, terutama di musim perayaan ini.
Sepanjang tempoh Operasi Ops Gempur Raya 2024 tersebut, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah telah berjaya melaksanakan pemeriksaan ke atas 84 premis di kawasan Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Sipitang, yang terdiri daripada kilang makanan dan minuman, industri pembuatan/ perkilangan dan perkhidmatan.
Tindakan penguatkuasaan yang telah diambil sepanjang Ops adalah seperti berikut: Field Citation (arahan di lapangan) : 83, Notis Arahan : 41 Kompaun : 4 Penahanan Kelengkapan Kawalan (POK): 1 Penyediaan Kertas Siasatan untuk pendakwaan di mahkamah : 4 Kes.
Semasa Ops Gempur Raya 2024 ini dilaksanakan didapati kesalahan-kesalahan di bawah perundangan alam sekitar yang dilakukan oleh pihak industri antaranya ialah tidak mematuhi peraturan efluen perindustrian serta tidak mematuhi peraturan buangan terjadual.
Terdapat juga kesalahan gagal mematuhi syarat-syarat lesen khususnya premis yang dikategorikan sebagai premis yang ditetapkan yang melibatkan penahanan operasi kelengkapan (POK) dan penyediaan kertas siasatan.
Kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 adalah kesalahan yang banyak dilakukan oleh industri yang diperiksa. Notis Arahan kepada pihak premis yang terbabit dikeluarkan agar mengambil tindakan pembaikan dengan segera.
Diharap pelaksanaan Ops Gempur Raya serta tindakan penguatkuasaan yang diambil, dapat memberi mesej kepada semua pihak bahawa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah serius membenteras sebarang bentuk pencemaran alam sekitar oleh mana-mana pihak khususnya sektor industri.
Pihak industri hendaklah menjalankan operasi premis mereka mengikut kehendak perundangan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius.
Mana-mana pihak yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar akan dipantau dengan lebih ketat oleh JAS. Pihak terbabit perlu melaksanakan serta membuktikan langkah-langkah pembaikan dilaksanakan dengan kadar segera.
Secara keseluruhannya, Ops Gempur Raya kali ini telah berjaya dilaksanakan dan mencapai objektifnya. JAS Negeri Sabah akan terus melaksanakan Ops Gempur seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pihak industri sentiasa mematuhi kehendak perundangan alam sekitar.-pr/BNN