KOTA KINABALU: Penggunaan sastera semakin tenggelam dalam kehidupan seharian masyarakat, berikutan tren kehidupan masa kini yang ingin cepat dan ringkas serta cara penyampaian maklumat yang pelbagai, kata isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

Katanya, kiasan dan pantun meluas digunakan dalam perbualan seharian pada masa
dahulu, yang sinonim dengan masyarakat kita yang terkenal dengan sopan santun dan
cenderung bertutur dengan lemah lembut untuk menyampaikan maksud yang tersirat. Menurutnya, anak-anak perlu dibiasakan dengan penggunaan sastera untuk mengangkatnya sebagai budaya yang diamalkan dari kecil hingga dewasa bagi menjamin kelangsungan penggunaan sastera dalam masyarakat.

“Semua usaha ini perlu diterapkan dalam kehidupan kanak-kanak agar mereka tahu
dan lebih mengenali cerita-cerita rakyat yang terdahulu kini semakin hilang dalam
kehidupan kanak-kanak”.

“Sebenarnya terdapat pelbagai manfaat sastera dalam perkembangan kanak-kanak
antaranya ialah peningkatan dalam keterampilan berbahasa, kognitif, simulasi
imaginasi dan kreativiti”, katanya merasmikan penutupan Festival Sastera Kanak- Kanak dan Program Jom Baca 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan
Tanjung Aru pada Selasa.

Menurutnya, Festival Sastera Kanak-Kanak dapat mengajak kita melihat kembali akan
kepentingan sastera sebagai salah satu medium yang artistik dan indah dalam
menyampaikan mesej. Juliah berharap festival itu dapat menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, selain memberikan galakan membaca terutama dalam golongan kanak- kanak dan remaja, melalui penulisan, pembacaan dan penceritaan.

 

Katanya, pelbagai aktiviti diadakan sempena festival ini akan memberi peluang kepada
generasi muda untuk mengenali bidang sastera dan berkarya, termasuklah penulisan
cerita berantai, pelancaran buku kanak-kanak, sesi bercerita dan deklamasi sajak
kanak-kanak.

Beliau berkata, sambutan Festival Sastera Kanak-kanak di Malaysia diadakan sekali
dalam 2 tahun dan tahun ini kali pertama Perpustakaan Negeri Sabah menganjurkan
festival itu.

Menyentuh Jom Baca tahun 2024 yang bertemakan “Pembacaan Melestarikan
Perpaduan”, Juliah berkata, ia adalah program tahunan yang diadakan untuk
menjadikan tabiat membaca sebagai satu budaya masyarakat kita.

Turut hadir isteri Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Cecilia Edwin
Kitingan dan Datin Seri Panglima Linda Ewit, Isteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datin Hajah Lenny Natasha Tan Sri Musa, Pengarah Perpustakaan Negeri, Puan Hajah Fatimah Abdillah, ahli-ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat (MUTIARA GRS) dan para pelajar. -pr/BNN