PUTATAN: Pendidikan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah harus dijadikan teras
bagi melahirkan modal insan untuk memperkasakan bangsa dan negara dalam
mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk membawa Sabah ke
tahap yang lebih maju dan cemerlang, sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang
digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima
Anwar Ibrahim. Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan
pendidikan dan latihan, pengupayaan sektor ekonomi serta pengukuhan hubungan,
termasuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di
negeri ini.

“Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat dan
bernegara, manakala al-Quran, sebagai kitab suci umat Islam, memimpin ke arah
penyatuan, kesatuan dan perpaduan ummah sebagai landasan menjayakan apa jua
perancangan demi kemajuan negeri dan negara”.

“Tidak akan tercapai kejayaan tanpa adanya perpaduan yang akan mensejahterakan ummah dan negara, justeru ukhuwah perlu dijalin untuk membentuk perpaduan. Untuk
mengangkat citra bangsa dan keagungan agama, setiap umat Islam harus mempertahankan kesatuan dan memperkasakan perpaduan yang selama ini kita bina
bersama”, katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penangguhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah Tahun 1445H/2024H di Dewan Sri Putatan pada Jumaat.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya. Katanya, dengan populasi yang terdiri daripada pelbagai bangsa, suku kaum dan kumpulan etnik, aktiviti positif memupuk dialog antara budaya dan agama, serta saling bekerjasama ke arah kemajuan dan kejayaan, sangat penting dan berupaya memperkukuhkan keharmonian kaum serta perpaduan rakyat.

Hajiji mengajak semua pihak agar sentiasa menyedari dan menginsafi dalam menjalani hidup bermasyarakat terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum, persefahaman, permuafakatan dan saling hormat menghormati merupakan satu obligasi yang amat dituntut oleh agama.

Menurutnya, Al-Quran merupakan sumber rujukan bagi membangunkan tamadun
umat manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah Ilmu pengetahuan bagi
memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat.

“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memahami, mendalami dan menghayati setiap
isi kandungan kitab suci al-Quran, kemudian mengaplikasikannya dalam kehidupan
kita seharian”, tegasnya.

Beliau berkata, penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran merupakan wadah
terbaik dan platform bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam
pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab
suci al-Quran. -pr/BNN