KOTA KINABALU: PH Sabah sebagai sebahagian daripada Kerajaan Sabah menyokong pendirian dan keputusan kerajaan berhubung dengan tindakan mahkamah Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).
PH Sabah memahami dan menghormati sepenuhnya keputusan yang diambil oleh SLS dalam membawa isu 40% hak perlembagaan Sabah ke mahkamah dalam permohonan Semakan Kehakiman mereka. Pada 2022 PH Sabah juga telah mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dengan memfailkan Saman Pemula menuntut 40% hak perlembagaan Sabah untuk dihormati dan dilaksanakan.
PH Sabah kini telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah bertekad untuk memastikan perkara ini diselesaikan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal (Jawatankuasa MA 63) masing-masing diketuai oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kedua.
PH Sabah juga memandang positif dengan tindakan SLS yang terus didengar di mahkamah dan pada masa yang sama komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu MA63 melalui penubuhan Jawatankuasa MA63 dengan wakil daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik ke jawatankuasa tersebut. Walapun dengan Pendekatan  yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memastikan hak perlembagaan Sabah dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.
*JAWATANKUASA KEMAJUAN KAMPUNG MADANI (JKDM)*
PH Sabah berpendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah. Baru-baru ini Dewan Undangan Negeri Sabah telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.
Setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang berniat untuk memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya.
Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah. Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah.
*GABUNGAN KERJASAMA POLITIK*
Kami juga menyedari bahawa terdapat banyak laporan dan spekulasi berkenaan dengan rakan gabungan Politik PH Sabah dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah akan datang.
Walaubagaimanapun, Pakatan Harapan Sabah masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru yang akan dibentuk untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
Namun begitu, PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh. PH Sabah menggesa agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini di bawah Kerajaan Madani.-pr/BNN