TAWAU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Sebatik disaran sentiasa mendekati dan menyantuni golongan muda dan remaja menerusi pelbagai program dan aktiviti yang sesuai disertai mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik berkata, antara aktiviti itu ialah sukan bolasepak, Futsal, E-Sport, sukan rakyat dan lain-lain.
Beliau berkata, penganjuran aktiviti sukan seperti itu dapat menarik penyertai rakyat pelbagai peringkat termasuk golongan belia dan remaja.
“Menerusi aktiviti sukan yang berfaedah ini dapat membantu menghindarkan rakyat khususnya golongan belia dan remaja daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat yang tidak berfaedah”, katanya pada Majlis Penutupan Pertandingan Liga Bolasepak Tertutup DUN Sebatik 2024 di Padang Bolasepak Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan pada Sabtu.
Hassan juga mencadangkan lebih banyak acara sukan yang sesuai disertai oleh golongan beliawanis, wanita dan veteran dianjurkan pada masa akan datang.
“Dalam masa terdekat ini, kita juga akan menganjurkan sukan E-Sport yang sesuai disertai oleh golongan belia”, katanya.
Beliau juga memuji Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik yang diketuai oleh Encik Andave Antik kerana berjaya menganjurkan pertandingan itu.
Sementara itu, pasukan bolasepak Kampung Gugusan Umas-Umas yang mewakili Zon Tanah Besar muncul sebagai johan Pertandingan Liga Bolasepak Tertutup DUN Sebatik 2024 bagi merebut piala pusingan Hassan.
Kg Gugusan Umas-Umas menewaskan pasukan bolasepak Kampung Tamang mewakili Zon Pulau menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 pada perlawanan akhir.
Tempat ketiga dikongsi bersama oleh pasukan Kepol FC mewakili Zon Pulau dan Real Felmas B mewakili Zon Tanah Besar.
Dengan kemenangan itu, pasukan bolasepak Kg Gugusan Umas-Umas membawa pulang hadiah wang tunai RM3000, trofi pusingan dan medal. Naib Johan menerima hadiah wang tunai RM2000 dan medal. Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 dan medal.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik, disertai oleh sebanyak 24 pasukan dari seluruh DUN Sebatik iaitu 12 pasukan mewakili Zon Tanah Besar dan 12 pasukan mewakili Zon Pulau.-pr/BNN