BELURAN: SMK Pamol merupakan salah satu sekolah pedalaman di negeri Sabah yang mengambil masa dua hari perjalanan untuk tiba ke Kuala Lumpur dan berjaya meraih tiga anugerah iaitu Anugerah Emas, Anugerah Perak dan satu Anugerah Khas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

SMK Pamol yang terletak di daerah pedalaman Beluran berjaya mengharumkan nama di
Pertandingan International Innovation, Invention & Technology Exhibition (ITEX)
bersempena World Young Inventors Exhibition 2024 yang berlangsung di Convention
Centre, KLCC baru-baru ini.

Tiga anugerah tersebut dirai menerusi penghasilan dua produk inovasi iaitu EcoBright Solar
Lamps (ESL) yang memenangi Anugerah Emas kategori Environmental Science dan Dragon
Fruit Skin Flour Technology (D2F- Techno) yang memenangi Anugerah Perak untuk kategori
Food and Biotechnology Science, selain Anugerah Khas dari Kementerian Kesihatan
Malaysia.

Objektif utama sekolah menyertai pertandingan ini ialah untuk menarik minat anak -anak
muda khususnya di kawasan pedalaman untuk menceburkan diri dalam teknologi inovasi di
samping dapat membuktikan kebolehan dan mengangkat nama Malaysia amnya dan Sabah
khususnya di dalam bidang inovasi sekaligus dapat membantu membangunkan sains dan
teknologi negara.

Produk inovasi EcoBright Solar Lamps (ESL) ini ialah sejenis lampu yang dihasilkan dengan
mengitar semula botol plastik terbuang dan penggunaan tenaga solar untuk membekalkan
tenaga elektrik. Objektif ciptaan ESL ini ialah untuk membantu menyelesaikan masalah di
kawasan pedalaman yang menghadapi masalah bekalan tenaga elektrik. Di samping itu
ianya juga dapat meminimumkan masalah pemanasan global di Malaysia dengan
penggunaan tenaga solar.

ESL yang dihasilkan oleh lima orang pelajar iaitu Margarcesybell Safrese, Shymelysney
Mooney, Susanna Qwek San San, Siti Rafbiyatul Adawiyah Binti Josmin dan Muhammad
Roufieq Romena Bin Nasir telah meletakkan hasil produk mereka di tiga lokasi iaitu di
Jambatan Utama Kampung Pamol, pagar utama sekolah dan gerbang utama sekolah sebagai dekorasi yang sangat cantik.

Manakala produk inovasi Dragon Fruit Skin Flour Technology (D2F- Techno) pula merupakan inovasi perprosesan kulit Buah Naga menjadi tepung bagi menggantikan tepung harian biasa. D2F- Techno merupakan salah satu pengganti sumber nutrisi karbohidrat yang kaya dengan fiber dan bebas gluten.

Produk D2F Techno ini dipercayai salah satu alternatif pengganti tepung harian biasa yang dapat mengurangkan masalah kesihatan.

Objektif penghasilan D2F- Techno ialah untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal
melalui pembuangan kulit buah naga, untuk menggalakkan konsep kitar semula di kalangan komuniti dan mengurangkan pengambilan karbohidrat secara berlebihan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Produk D2F- Techno ini dihasilkan oleh lima orang pelajar iaitu Noor Shamimi Shafiqah Binti
Bastiansha, Samantha Qwek Yen Yen, Lisdaniela Darius, Charlotte Sulong Richard dan Leo
Eusebio Vencent.

Kejayaan ini adalah hasil bimbingan daripada Cikgu Faris Mohamad, Cikgu Siti Noraini
Mislihan, Ustazah Nurainin Sofiya Zainal, Cikgu Tajudin Djuma, Cikgu Zulkarnain Zulkipli,
Cikgu Norshafikah Asmanuh, Cikgu Jumalia Jali dan disokong penuh oleh Tuan Sh. Mahada
Sh. Attar ( Pegawai Pendidikan Daerah Beluran), Dr Nancy Ng Yut Kuan (Pegawai SISC+ Unit Sains dan Matematik PPD Beluran), En Ismail Bin Sindong (Pengetua), En Marius Salungin (GPK Pentadbiran), Pn Radeyah Binti Bernadus (GPK Hal Ehwal Murid) dan En Ahmad Qusyairi Bin Ibrahim (GPK Kokurikulum) SMK Pamol.

Lebih membanggakan lagi kejayaan ini di sokong oleh banyak pihak yang telah memberi
sumbangan dalam bentuk kewangan iaitu daripada Kementerian Belia dan Sukan Negeri
Sabah sebagai penaja utama.

Sumbangan lain ialah daripada Syarikat Poring Enterprise, Koperasi Sekolah, IOI Foundation Group Sdn. Bhd, Yang Berhormat Datuk Jonnybone J. Kurum (ADUN N47 Telupid) dan PL Bookstore Sdn Bhd dalam membantu kepada kejayaan pasukan inovasi ini.

Pertandingan ITEX 2024 ini disertai oleh kira- kira 700 penyertaan daripada 8 buah negara
dan SMK Pamol berani menyahut cabaran untuk menyertainya walaupun sekolah ini merupakan sekolah pedalaman yang lebih kurang 106km daripada pekan Beluran.

Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada pelajar lain khususnya daripada
sekolah pedalaman juga.-pr/BNN