KOTA KINABALU: Sabah komited memperkukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor untuk membawa lebih ramai pelabur dari negara itu datang ke negeri
ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata pada masa ini sudah ada pelabur dari China ke Sabah antaranya
Kumpulan Kibing yang melabur dalam pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian
Kota Kinabalu (KKIP).

“Kehadiran pelabur-pelabur ke Sabah bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi
negeri malah dalam masa sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk
tempatan.

“Oleh itu, saya berharap lebih banyak lagi pelabur dari negara China melabur ke
negeri ini dan kita amat mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Sudah pasti dengan lebih ramai pelabur datang termasuk dari China, ia akan
membawa petunjuk yang baik kepada ekonomi kita,” katanya ketika menerima
kunjungan hormat daripada Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Konsul
Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shifang.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing di Bangunan DUN Sabah di sini pada Khamis. Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Josie Lai.

Dalam pada itu, Ketua Menteri juga berkata kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus bekerjasama untuk menaiktaraf kemudahan pelancongan di negeri ini.

“Saya berasa gembira dengan kehadiran ramai pelancong China ke Sabah terutama selepas COVID-19. Saya berharap kehadiran pelancong dari China akan terus meningkat. Justeru, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk menaiktaraf kemudahan pelancongan di negeri ini.

“Saya juga mahu isu-isu berkaitan keselamatan pelancong yang datang ke negeri ini
akan diberi keutamaan. Kita tidak mahu berlaku kes yang tidak diingini membabitkan
pelancong luar di negeri ini. Kerajaan negeri akan buat yang terbaik untuk memastikan
keselamatan orang ramai termasuk pelancong ke negeri ini.

Dalam kunjungan hormat itu turut disentuh mengenai program Sabah-Malaysia Rumah
Keduaku (Sabah-MM2H). Oleh itu, beliau mahu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dan MOTAC untuk memperincikan mengenai isu berkenaan.

Sementara itu, Ouyang berkata pelancong dari China dijangka meningkat dua kali
ganda untuk datang ke Malaysia pada musim panas bulan Julai ini.

“Sudah tentu pelancong yang datang ke Malaysia juga akan berkunjung ke Sabah,” katanya.

Selain pelancongan, beliau berkata kerajaan China menggalakkan pelaburan dari negara itu ke Malaysia dalam bidang teknologi tinggi seperti ekonomi digital, AI, solar dan e-dagang.

“Sudah pasti kedua-dua negara akan menerima manfaat daripada hubungan dua hala
ini khususnya dalam aspek pelaburan dalam bidang teknologi tinggi” katanya.-pr/BNN