KOTA KINABALU: Rakyat amat mengharapkan perkhidmatan yang diberikan oleh pegawai dan kakitangan kerajaan terus meningkat selaras dengan kenaikan gaji mereka.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, kenaikan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini amat dinanti-nantikan oleh perkhidmatan awam.
Namun katanya, dengan kenaikan gaji tersebut sudah pasti rakyat turut mengharapkan perkhidmatan yang diberikan oleh perkhidmatan awam turut meningkat seperti diharapkan.
“Teguran dan peringatan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar  bahawa Penjawat awam tidak boleh lagi ‘goyang kaki’  dan bersenang-lenang tanpa perlu melakukan kerja sudah berakhir.
“Rakyat menaruh harapan tinggi terhadap perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka kerana gaji yang dibayar kepada perkhidmatan awam datangnya daripada rakyat”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Shamsul Azri Abu Bakar bahawa perkhidmatan awam perlu melakukan yang terbaik selepas pengumuman kenaikan gaji oleh PM.
“Kita kena melakukan yang terbaik, perlu mencapai apa dijangkakan orang ramai.
“Tiada lagi yang ‘goyang kaki’, semuanya mesti berdasarkan prestasi.” katanya selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 Khamis lalu.
Nazri mengucapkan Tahniah kepada kawannya (Shamsul Azri) yang telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu dan mendoakan semoga beliau terus diberikan kesihatan, kekuatkan dalam menjayakan tugas baru beliau. Semoga ALLAH sentiasa membantu beliau.
Shamsul turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PM atas pengiktirafan kepada keseluruhan jentera kerajaan dengan mengumumkan kenaikan pelarasan gaji yang baru.
“Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan yang tinggi kepada penjawat awam. Tetapi dengan penghormatan dan pengiktirafan ini dia datang dengan pengorbanan daripada mereka.” ujarnya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji akan ditetapkan sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Manakala, 7 peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Mohd Nazri berkata, integriti dan ketelusan merupakan  2  budaya  yang wajar diamalkan dan dilaksana demi kepentingan rakyat.-pr/BNN