Mahkamah litar Matunggong lulus

0
Richard (duduk, dua dari kanan) bersama Jelani (duduk, dua dari kiri) semasa meninjau Mahkamah Anak Negeri Matunggong
Richard (kiri) diiringi oleh Jelani (dua dari kiri) semasa mengadakan melawat kerja ke Pejabat Daerah Kecil Matunggong

MATUNGGONG: Mahkamah Litar (Circuit Court) yang telah diluluskan pengwujudannya akan dimulakan pada bulan April 2018, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Dato’ Jelani Hamdan.

Katanya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (Chief Judge of the High Court of Sabah and Sarawak), Yang Amat Arif (YAA) Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum  telah meluluskan cadangan yang dikemukakan oleh beliau semasa lawatannya ke Pejabat Daerah Kecil Matunggong & Mahkamah Anak Negeri Matunggong.

Kelulusan ini adalah ekoran beberapa siri khidmat program Mobile Court ( Mahkamah Bergerak ) yang  telah diadakan sebelum ini .

“Saya telah mencadangkan agar diwujudkan Mahkamah Litar (Circut Court) di Matunggong dan YAA Tan Sri telah meluluskan semasa lawatannya kelmarin”, katanya hari ini.

Richard (duduk, dua dari kanan) bersama Jelani (duduk, dua dari kiri) semasa meninjau Mahkamah Anak Negeri Matunggong

Menurut Jelani, Mahkamah Litar akan dimulakan pada bulan April 2018. Sebagai permulaan Hakim/Majistret/ Pegawai Undang-Undang dari Mahkamah Majistret Kudat akan membuat pendengaran sebanyak dua kali sebulan.

Selain itu katanya, perkhidmatan oleh seorang Pesuruhjaya Sumpah juga akan diwujudkan di Pejabat Daerah Kecil Matunggong setiap minggu bermula April 2018 ini.

“Dengan adanya Mahkamah Litar di Matunggong sedikit sebanyak akan dapat menyelesaikan banyak kes atau masalah seperti pengesahan Surat Beranak Lewat, kes-kes kecil seperti saman kes trafik , tuntutan kecil, kes  tanah dan lain-lain.

“Ini bererti semua kes-kes yang sebelum ini di dengar di Mahkamah Majistret Kudat / Kota Marudu  akan dipindahkan lokasi pendengarannya ke Matunggong sendiri.

“Saya sedang berbincang dan belum memutuskan sama ada pendengaran kes-kes tersebut akan dibuat di Urusetia Kecil Matunggong atau meminjam Dewan Bicara Mahkamah Anak Negeri Matunggong”, jelasnya.

Serentak itu, Jelani mewakili rakyat Matunggong mengucapkan jutaan terima kasih kepada Richard Malanjum diatas kepercayaan beliau kepadanya bantuan kepada penduduk Matunggong. -pr/BNN