KOTA KINABALU: Program Orientasi untuk pelajar baru (ambilan Februari 2025) University College Sabah Foundation (UCSF) telah berlangsung selama 2 hari pada 10 dan 11 Februari 2025 bertempat di kampusnya di Sembulan. Lebih 100 orang telah menyertai program itu yang merupakan program wajib dihadiri oleh pelajar yang mendaftar di UCSF.
Antara pengisian program kali ini adalah slot rutin seperti taklimat ringkas daripada beberapa jabatan termasuk Jabatan Pendaftar, Pejabat Kewangan, Unit Wakaf dan Endowmen, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, dan Fakulti Akademik. Menurut Pemangku Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UCSF, Puan Mazlinah Binamin, program orientasi itu dikendalikan sepenuhnya oleh Student Representative Council (SRC) sesi 2024/25 yang diketuai oleh Presidennya, Cik Dayangku Lailatul Norsa’adah dengan dibantu oleh fasilitator pelajar.
Katanya, pengisian lain termasuk Ceramah Motivasi oleh Kaunselor UCSF, Puan Suhaifah Irna, serta Ceramah Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Pelajar IPT oleh Inspektor D11 Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Inspektor Florence Ansikit. Program dua hari ini juga diselitkan dengan pelbagai aktiviti permainan, sukan, dan rekreasi yang bertujuan membantu proses transisi pelajar ke peringkat universiti serta memberi pendedahan dan membina hubungan baik di antara pelajar sedia ada dengan pelajar baharu.
Beliau berkata, program berakhir dengan bacaan ikrar oleh pelajar baru, penyampaian hadiah, dan sesi bergambar semasa majlis penutupan yang disempurnakan oleh Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris. Pemangku Pendaftar UCSF, Puan Norasyiqin Ahmad, menyatakan bahawa Pejabat Pendaftar bersedia membantu pelajar baru dalam semua urusan akademik dan pentadbiran bagi memastikan perjalanan akademik yang lancar dan bermakna di UCSF.
Sementara itu, Datuk Dr. Rafiq dalam ucapannya mengingatkan pelajar baru bahawa selain mempelajari perkara yang dikongsikan dalam kuliah dan aktiviti universiti, mereka digalakkan turut berusaha sendiri dalam mempertajamkan “soft skills” serta kemahiran tambahan agar lebih berdaya saing apabila memasuki pasaran kerja kelak. Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan dan komunikasi dalam pelbagai bahasa, sebagai tambahan kepada bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa ibunda, seperti bahasa Mandarin, Korea, Arab, dan lain-lain.
Turut hadir pada Majlis Penutupan Program Orientasi ialah Dekan-Dekan Fakulti, Timbalan Dekan, Ketua-Ketua Jabatan, dan kakitangan UCSF.-pr/BNN