KOTA KINABALU: Seramai 100 orang anak yatim dan asnaf dari kawasan Parlimen
Tuaran disantuni dalam Program ‘Shopping Raya’ bertempat di Servay Hypermarket
Inanam dekat sini pada Jumaat.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag yang juga Yang Dipertua
Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah
(MUTIARA GRS) menghadiri majlis itu dan penyantuni kanak-kanak tersebut. Anak-anak yatim dan asnaf yang terlibat berusia 12 tahun ke bawah dari 4 kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap seorang menerima sumbangan berupa pakaian dan kasut Hari Raya bernilai RM200. Program itu dianjurkan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan
syarikat Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad dengan kerjasama Pergerakan
Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Bercakap kepada pemberita di majlis itu, Juliah berkata, program itu amat bermakna
dan memberi keceriaan serta kegembiraan kepada anak-anak yatim dan asnaf
menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri. Katanya, kanak-kanak dan keluarga mereka begitu bersyukur dan senang hati apabila dibawa membeli pakaian dan keperluan untuk menyambut Hari Raya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UPPM, KTC dan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat kerana berganding bahu menjayakan program
tahunan itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan
Masyarakat (UPPM), Datuk Haji Awang Kadin Tang, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk
Dexter Lau dan isteri Datin Yee Tsai Siew, Ketua Pergerakan Wanita (UPPM),  Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda dan pemimpin serta ahli-ahli MUTIARA. -pr/BNN