KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi langkah penting dalam agenda pembangunan mampannya apabila Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) secara rasmi ditubuhkan sebagai platform penyelarasan dan pelaksanaan dasar strategik ekonomi biru negeri.
Penubuhan MEBS telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah Siri 10 Tahun 2025, dan mesyuarat sulungnya dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah diadakan di Menara Kinabalu pada Isnin.
Hajiji dalam perutusannya semasa mempengerusi mesyuarat itu berkata, MEBS diwujudkan sebagai usaha strategik Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan sektor ekonomi biru Sabah dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Melalui MEBS, kita akan menyelaras dasar-dasar utama, meluluskan program berimpak tinggi serta memantau pelaksanaan Kerangka Dasar dan Strategi Ekonomi Biru. Ia merupakan pendekatan bersepadu yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusifdan berdaya saing,” katanya.
Menurutnya, MEBS juga akan memacu pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim, seiring keperluan pembangunan ekonomi moden yang menekankan kelestarian dan penerapan teknologi canggih.
Katanya, penubuhan MEBS merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, akademia, industri dan komuniti dalam usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju utama ekonomi biru di rantau Asia Tenggara.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk mengangkat potensi laut Sabah secara optimum, memperluas pelaburan dan menjamin kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan yang lestari dan tahan lasak,” tambahnya.
Hajiji berkata, dengan langkah ini, Sabah kini berada di landasan yang lebih kukuh dalam membina masa depan yang sejahtera berasaskan kemakmuran laut dan kekuatan ekonomi maritim.
Dalam mesyuarat pertama ini, Hajiji turut menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada lapan Ahli MEBS yang terdiri daripada barisan pimpinan tertinggi negeri.
Mereka terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Menteri Kewangan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah.
Selain itu, tujuh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal turut menerima watikah pelantikan untuk mengetuai pelbagai komponen teknikal MEBS, termasuk bidang penuaian sumber hidup, perniagaan laut, kesihatan laut, penjanaan sumber baharu, perancangan marin, harta intelek, dan pengurusan sungai.
Pelantikan ini melibatkan pegawai kanan daripada kementerian dan agensi teknikal utama negeri seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Pusat Biodiversiti Sabah, dan Pejabat Hasil Bumi. Mereka akan mengemudi pelaksanaan dasar dari aspek teknikal dan pentadbiran, memastikan segala inisiatif berjalan lancar dan menyeluruh.
Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) pula dilantik sebagai Urus Setia MEBS untuk menyelaras pelaksanaan keputusan majlis secara efektif dan strategik.-pr/BNN