KOTA KINABALU : Wanita Islam diseru agar lebih memahami hak mereka dalam institusi perkahwinan mengikut peruntukan Undang-undang Syariah supaya tidak terus menjadi mangsa ketidakadilan, termasuk dalam isu penderaan, penceraian dan penafian hak nafkah atau harta.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, isu ketidakadilan terhadap wanita dalam perkahwinan sering berpunca daripada kelemahan pengetahuan dan kefahaman wanita sendiri terhadap hak-hak yang dijamin oleh syarak dan undang-undang.

“Ramai wanita tidak tahu mereka mempunyai hak dalam soal nafkah, harta sepencarian, perlindungan daripada penderaan, dan keadilan dalam perceraian. Ketidaktahuan ini menjadikan mereka terus menjadi mangsa,” katanya ketika merasmikan Forum Wanita Madani: Hak-Hak Wanita dalam Perkahwinan Mengikut Undang-undang Syariah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah pada Rabu.
Beliau yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, turut menangkis tanggapan bahawa wanita ditindas dalam Islam, dan menegaskan bahawa Islam adalah agama yang mengangkat martabat wanita secara adil dan berperanan besar dalam masyarakat.
“Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dari sudut tanggungjawab dan ganjaran. Malah wanita mempunyai tempat yang tinggi dalam pembinaan keluarga dan tamadun,” katanya.
Menyorot peranan wanita dalam institusi keluarga, Juliah menekankan bahawa seorang ibu adalah madrasah pertama kepada anak-anak dan menjadi asas pembentukan masyarakat.
Katanya, apabila wanita faham hak mereka, mereka bukan sahaja mampu melindungi diri sendiri, tetapi juga berperanan melahirkan generasi yang berakhlak dan membina keluarga berkualiti.
Beliau turut menyeru agar kesejahteraan wanita tidak dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung kepada kestabilan masyarakat dan negara.
Juliah memuji penganjuran forum ini sebagai platform penting untuk menyampaikan ilmu, berkongsi pengalaman dan memperkasakan wanita dengan pengetahuan perundangan yang tepat dan relevan.“
Usaha ini sangat signifikan kerana ramai wanita masih kabur tentang proses pendaftaran perkahwinan, pembubaran perkahwinan, hak penjagaan anak dan pengurusan harta selepas perceraian,” katanya.
Beliau berharap agar lebih banyak forum dan program seumpamanya diadakan agar ilmu yang diperoleh boleh dikongsi kepada lebih ramai wanita, termasuk di peringkat akar umbi.-pr/BNN