KOTA KINABALU: Sabah meraikan Hari Jadi Rasmi ke-74 Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dengan perarakan 80 kontinjen di Padang Merdeka hari ini.

Tun Musa yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin untuk menghadiri upacara perbarisan pertama sempena Hari Jadi rasmi beliau selaku Yang di-Pertua Negeri, disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag sejurus ketibaan di Padang Merdeka.

Tun Musa Aman diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebaik tiba di Padang Merdeka. 

Turut menyambut kehadiran mereka ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong serta para kenamaan lain.

Majlis dimulakan dengan Tun Musa memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama diiringi 17 das tembakan meriam dari Bukit Bendera. Selepas itu, beliau menaiki kenderaan istiadat untuk memeriksa 80 kontinjen yang berbaris di padang.

Upacara memotong kek turut diadakan semasa persembahan tarian khas oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sabah.

Majlis kemudiannya ditangguhkan bagi Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri di Istana Seri Kinabalu.-pr/BNN