BEAUFORT: Ketua Pemuda GRS Beaufort, Mohd. Shahril Osin mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, yang berlangsung di ibu negeri pada 21 dan 22 Jun 2025.

Menurutnya, aksi demonstrasi yang diketuai oleh Fadhil Kasim bersama beberapa rakannya di bawah kumpulan Suara Mahasiswa UMS itu bukan sahaja melanggar nilai sopan santun budaya Sabah, malah memperlihatkan kebiadaban yang keterlaluan dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Lebih menjijikkan, perhimpunan itu disulami tindakan provokatif termasuk aksi membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini bukan sahaja biadab, malah satu penghinaan terbuka kepada pemimpin negara dan mencerminkan kegagalan penganjur untuk beradab dalam menyampaikan pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias berkata, tindakan sedemikian mencemarkan nama baik UMS dan seharusnya dikenakan tindakan tegas oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak pentadbiran UMS dan juga Kementerian Pengajian Tinggi.

“Tindakan membakar simbol pemimpin negara dalam perhimpunan kononnya atas nama antirasuah adalah sangat keterlaluan dan tidak wajar dibiarkan tanpa hukuman,” tegasnya.

Beliau turut menyelar keras penglibatan pemimpin pembangkang yang dilihat mengambil kesempatan politik dengan turut serta dalam demonstrasi itu, sekali gus menunggang golongan mahasiswa demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.

“Budaya luar yang dibawa masuk ke bumi Sabah ini semakin keterlaluan. Aksi membakar, provokasi dan kekacauan bukan budaya orang Sabah yang terkenal dengan adab, hormat dan kesederhanaan. Malah, tindakan segelintir mahasiswa – yang bukan pun anak jati negeri ini – jelas mengundang perpecahan, mengganggu keharmonian dan mencemarkan nama baik UMS,” ujarnya.

Shahril berkata, kehadiran pemimpin pembangkang seperti Warisan di tengah-tengah aksi provokatif itu memperlihatkan corak politik terdesak dan tidak beretika.

“Kita lihat jelas agenda tersembunyi di sebalik aksi ini. Ia bukan semata-mata suara mahasiswa, tetapi telah dicemari oleh kepentingan politik sempit pihak pembangkang.

“Pemimpin Warisan sepatutnya menunjukkan teladan yang baik, bukannya mencetuskan suasana tidak tenteram di ibu negeri,” katanya.

Beliau turut mendesak agar pihak pengurusan UMS bertindak tegas terhadap mana-mana pelajar yang terbukti terlibat bagi memastikan universiti itu tidak dijadikan platform untuk percaturan politik luar.

“UMS adalah institusi ilmu dan kecemerlangan, bukan pentas politik. Pentadbiran UMS perlu bertindak segera agar insiden seperti ini tidak menjadi “precedent” kepada mana-mana kelompok yang mahu menjadikan perhimpunan sebagai gelanggang provokasi,” katanya.

Menurutnya, mahasiswa perlu kembali kepada landasan intelektualisme dan memperjuangkan isu dengan ilmu serta hujah, bukannya emosi dan tindakan jalanan yang tidak beradab.

“Mahasiswa sepatutnya membawa suara dengan ilmu dan hikmah, bukan dengan cara yang biadab dan melampau. Hormatilah tanah tempat anda berpijak! Sabah adalah negeri yang beradat, bukan tempat untuk uji kaji politik murahan,” ujarnya.

Shahril berkata, rakyat Sabah secara jelas menolak sebarang bentuk politik kebencian dan provokasi, apatah lagi apabila ia cuba disemai di institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tapak penyatuan generasi muda pelbagai latar belakang.

“Kita tidak mahu Sabah yang aman ini dicemari oleh tangan-tangan luar yang sengaja mahu menimbulkan huru-hara. Golongan mahasiswa bukan alat untuk agenda politik yang tidak bermaruah,” katanya.

Pemuda GRS Beaufort juga menyatakan sokongan penuh terhadap pihak keselamatan dan pentadbiran universiti untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pelajar atau pihak luar yang didapati mencetuskan ketegangan atau melanggar undang-undang negara.

Shahril turut menyeru mahasiswa tempatan agar terus menjadi agen perubahan positif dengan berpaksikan ilmu, hormat dan hikmah – bukan menjadi mangsa kepada permainan politik yang rakus dan oportunis. – pr/BNN