KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat dan pemerhati politik tempatan, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan gesaan Persatuan Pengusaha Galian Sabah (PPGS) agar tindakan diambil terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai tidak berasas dan memperlihatkan kedangkalan pihak terbabit dalam memahami proses tadbir urus kerajaan.
Katanya, kenyataan PPGS yang menuntut tindakan terhadap Hajiji berhubung isu syarikat Pengurusan Mineral Sabah Sdn Bhd (SMM) bukan sahaja bersifat terburu-buru, malah menggambarkan seolah-olah mereka tidak memahami struktur pengurusan sesebuah entiti kerajaan.
“Gesaan ini hanyalah cubaan untuk menarik perhatian umum tanpa asas yang kukuh. Apa manfaat yang mereka harapkan daripada tuduhan seperti ini?” soalnya dalam posting di media sosial Facebook.
Aksyah menegaskan, keputusan dalam pengurusan SMM bukan dibuat secara bersendirian oleh Ketua Menteri, sebaliknya melalui proses penilaian teknikal yang ketat.
“Setiap permohonan lesen atau permit eksplorasi dan carigali mineral akan melalui Jawatankuasa Teknikal terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Lembaga Pengarah untuk pertimbangan. Proses ini teratur dan sistematik,” katanya.
Beliau berkata, sistem pengurusan yang telus inilah yang menghalang cubaan pihak luar seperti Albert Tei untuk memperdaya kerajaan negeri dan mengaut keuntungan secara tidak sah.
“Kerana sistem yang berintegriti, Sabah terselamat daripada dimanipulasi oleh individu berkepentingan yang didakwa terlibat dalam penipuan. Ini membuktikan ketegasan dan kecekapan pentadbiran Hajiji,” katanya.
Mengulas mengenai skandal rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Aksyah menyifatkan pendirian Hajiji yang menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tindakan berani dan bertanggungjawab.
“Hajiji secara terbuka menyatakan beliau tiada apa yang perlu disembunyikan. Malah, beliau tidak langsung campur tangan dalam siasatan walaupun ia melibatkan ADUN dari blok kerajaan sendiri,” katanya.
Menurutnya, keputusan siapa yang didakwa adalah hak mutlak pihak pendakwa raya berdasarkan siasatan SPRM, dan bukan tanggungjawab atau kuasa Ketua Menteri.
“Adakah PPGS mahu mengambil alih tugas SPRM? Atau mahu bertindak seperti pendakwa raya dan hakim tidak bertauliah sebagaimana sesetengah pihak pembangkang lakukan di media sosial?” soalnya.
Aksyah menggesa semua pihak, termasuk PPGS, untuk memahami proses tadbir urus dan tidak membuat kenyataan sembrono yang hanya akan menjejaskan kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan. – pr/BNN