KOTA KINABALU: Naib Presiden STARSABAH Bahagian N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman mezahirkan komitmennya untuk terus berdiri teguh bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) dalam apa jua keadaan, demi memastikan perjuangan rakyat Sabah terus diperkasa.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-9 STARSABAH yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Annuar menyifatkan tempoh sembilan tahun penubuhan STARSABAH bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan sebuah perjalanan politik yang penuh cabaran, jatuh bangun dan pengorbanan bersama.
“Sembilan tahun ini adalah lambang keteguhan sebuah perjuangan. Dari semangat sukarela di peringkat akar umbi, STARSABAH kini muncul sebagai wadah penting yang terus memperjuangkan hak dan masa depan rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, ulang tahun parti bukan hanya acara simbolik tetapi juga medan untuk memperbaharui semangat perjuangan serta memperkukuh solidariti dalam kalangan ahli.
“Kita tidak berjuang untuk kepentingan diri. Kita berjuang kerana rakyat. Oleh itu, kesetiaan kepada parti ini bukan bersifat bermusim, tetapi lahir dari prinsip dan tanggungjawab,” tegasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan parti melepasi pelbagai ujian sepanjang sembilan tahun, termasuk dalam arus politik yang tidak menentu.
Majlis gilang-gemilang itu turut dihadiri Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan bersama barisan kepimpinan tertinggi parti dari seluruh Sabah, mencerminkan kekuatan jentera parti serta kepercayaan akar umbi terhadap halatuju yang dibawa.
Menurut Annuar, STARSABAH akan terus memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kedaulatan Sabah, memperkasa pembangunan luar bandar serta memperjuangkan hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita tidak akan berpaling. Inilah wadah yang membawa suara rakyat Sabah sejak mula. Kita akan terus mara ke hadapan dengan lebih berani dan berprinsip,” katanya.
Sambutan ulang tahun ke-9 ini turut menandakan kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik akan datang, termasuk persediaan rapi menjelang pilihan raya negeri akan datang.-pr/BNN