KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dengan kerjasama PETRONAS dan rakan-rakan industri telah menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus kontrak tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk syarikat-syarikat dari Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Dari segi pengambilan pekerja, sasaran adalah jelas: 100 peratus bagi jawatan bukan teknikal dan sekurang-kurangnya 80 peratus jawatan teknikal dalam sektor OGSE mesti diisi oleh rakyat Sabah.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen teguh kita untuk memperkukuh penyertaan tempatan dan membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berasaskan bakat tempatan,” katanya pada Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Ucapan Ketua Menteri telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.

Menurut Ketua Menteri, pada tahun 2021, jumlah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari Sabah bagi kerja-kerja perkhidmatan minyak dan gas tempatan berjumlah RM341 juta dan menjelang akhir tahun lalu, jumlah itu melonjak kepada lebih RM2 bilion bagi kerja-kerja yang dianugerahkan di dalam dan luar Sabah.

Beliau berkata, industri minyak dan gas Sabah merupakan tunjang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini dan terus memainkan peranan utama, menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara.

“Namun, kami percaya peranan kita perlu melangkaui sekadar pengeluaran. Kita berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan bagi inovasi OGSE dan amalan tenaga mampan serta sebagai hab di mana pelaburan, bakat dan teknologi bertemu untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri melalui SMJ Energy telah mengambil langkah tegas untuk mendapatkan ekuiti dalam aset huluan dan hiliran utama, termasuk PSC Samarang dan loji petrokimia SAMUR, serta kepentingan dalam blok pencarigalian SB403, SB409, SB306A dan SB306B.

Beliau berkata Sabah Energy Corporation juga telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia, susulan pengambilalihan kontrak gas darat PETRONAS di Sabah dengan jayanya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS dan semua rakan pengendali kami di Sabah atas usaha berterusan, komitmen dan pelaburan anda dalam pembangunan kandungan tempatan.

“Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani pada Disember 2021 bersama PETRONAS adalah signifikan dan pelaksanaannya menerusi inisiatif seperti Jawatankuasa Kecil bagi industri OGSE, yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta PETRONAS, telah menunjukkan hasil yang nyata,” katanya.

“Bagi mengekalkan momentum ini, kita telah menubuhkan Majlis Kandungan Tempatan Sabah di bawah pemantauan SMJ Energy dan melaksanakan Pasukan Petugas Bersama untuk Perkongsian Wajib.

“Inisiatif-inisiatif ini, bersama dengan pandangan telus yang diberikan oleh Kinabalu Activity Outlook (KAO), direka untuk memastikan syarikat-syarikat tempatan kita mendapat maklumat, bersedia dan mempunyai rakan kongsi yang sesuai untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Hajiji turut memuji usaha Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dalam mempromosikan penyertaan Sabah dalam sektor OGSE.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk menyokong rancangan SOGSC dan PKPBS menganjurkan persidangan OGSE pada tahun hadapan.“Visi kami adalah untuk membina rangkaian peluang OGSE yang melangkaui kontrak jangka pendek.

Kami ingin menggalakkan pemindahan ilmu, pertukaran teknologi dan usaha sama yang mampu melonjakkan pemain tempatan ke tahap serantau.

“Kami sedang meletakkan asas bukan sahaja untuk kemakmuran semasa, tetapi juga untuk ekosistem OGSE yang berdaya tahan, inovatif dan mampan untuk generasi akan datang.

“Justeru, marilah kita bekerjasama memastikan Sabah bukan sahaja kekal sebagai pemain utama dalam sektor tenaga, tetapi menjadi model kepada pertumbuhan yang mampan dan inklusif dalam industri minyak, gas dan tenaga,” katanya. – pr/BNN