KENINGAU: Sambutan ulang tahun ke-30 pertubuhan kebajikan Tzu Chi diwarnai dengan semangat cintakan alam sekitar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, bersama isteri, YM Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, turut menyertai gotong-royong mengutip sampah di sekitar pekan ini pada Selasa.

Program yang berlangsung berhampiran pusat pengumpulan barangan kitar semula Tzu Chi, berdekatan Kedai Mee Woo di Pekan Keningau itu, menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Misha Ho, aktivis tempatan serta penduduk setempat.

Annuar berkata, penglibatan secara langsung dalam program itu mencerminkan komitmen pemimpin dan masyarakat dalam memelihara kebersihan serta kelestarian bumi.

“Inisiatif ini bukan sekadar mengutip sampah, tetapi merupakan simbol kesedaran bahawa bumi adalah amanah Tuhan. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab menjaga dan memeliharanya dengan penuh kasih,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf usaha berterusan Tzu Chi dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar yang kini telah berkembang menjadi gerakan global.

“Daripada usaha kecil mengasingkan bahan kitar semula, kini ia menjadi satu gerakan besar yang memberi impak mendalam kepada pemikiran masyarakat sejagat,” katanya.

Sementara itu, Tengku Adlina menyifatkan pendekatan Tzu Chi yang konsisten dan menyentuh hati sebagai kunci kejayaan pertubuhan tersebut dalam menyebarkan nilai-nilai murni.

“Perubahan tidak semestinya lantang. Apa yang penting adalah ketekalan dan teladan yang ditunjukkan. Tzu Chi telah membuktikan bahawa pendidikan senyap mampu mengubah minda dan sikap,” ujarnya.

Program gotong-royong itu disambut dengan suasana penuh muhibah dan kerjasama, sekali gus memperkukuh nilai perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.

Sambutan itu turut menjadi peringatan bahawa bumi ini bukan milik mutlak kita, sebaliknya pinjaman sementara daripada generasi akan datang yang wajib dipelihara demi masa depan bersama. – pr/BNN