KENINGAU: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau menerima suntikan semangat menjelang sambutan Jubli Delima 40 Tahun apabila Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan tampil menghulurkan sumbangan dana bagi menjayakan acara bersejarah itu.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Ketua Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Keningau, Lectus Fung kepada Ketua Jabatan Pedagogi Peribumi Pedalaman Sabah, Albert Mark Maguring, sebagai tanda sokongan berterusan Dr Jeffrey terhadap pendidikan guru khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Albert, sumbangan itu bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi bukti penghargaan terhadap peranan IPG dalam mencorak masa depan pendidikan negeri.
“Sokongan ini memberi dorongan besar kepada warga pendidik dan bakal guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa,” katanya.
Sambutan Jubli Delima yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 Ogos depan di Dewan Tan Sri Suffian Koroh turut akan dirasmikan oleh Dr Jeffrey sendiri, dengan pelbagai acara termasuk konsert, jamuan alumni dan aktiviti pendidikan dirancang bagi memeriahkan sambutan.
IPG menjangkakan penyertaan luas daripada alumni, warga pendidik dan komuniti pendidikan dari seluruh Sabah. Dukungan pemimpin seperti Dr Jeffrey disifatkan sebagai pemangkin kepada kecemerlangan institusi pendidikan luar bandar.-pr/BNN





