KOTA BELUD: Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kampung Biraan yang dijangka membawa manfaat besar kepada komuniti nelayan di kawasan ini telah dimulakan secara rasmi menerusi Majlis Pecah Tanah yang berlangsung baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, yang mewakili Ketua Menteri.
Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian STARSABAH N.10 Usukan, Mohd Lin Haji Harun turut hadir menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan projek strategik itu yang bakal meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan nelayan tempatan.
Majlis turut disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian Sabah, Datuk Leonard Stephen Potong; serta Pegawai Daerah Kota Belud, Tuan Peter Jiton.
Projek penempatan semula ini dilihat sebagai satu inisiatif jangka panjang yang mampu menyediakan persekitaran hidup lebih selesa dan tersusun kepada komuniti nelayan, termasuk kemudahan asas yang lebih baik serta peluang pembangunan sosioekonomi yang mampan.-pr/BNN





