TAMPARULI: Golongan peladang, penternak dan nelayan diingatkan supaya berwaspada dengan taktik provokasi pembangkang untuk meraih simpati sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah ketika memberi peringatan itu meminta ahli pertubuhan itu supaya berfikiran bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh sebarang fitnah atau provokasi.
Katanya, sepanjang kempen yang berlangsung sekarang, banyak isu cuba dijaja oleh pembangkang untuk meraih simpati.
“Justeru, ahli peladang seluruhnya perlu waspada dan memikirkan masa depan dengan menentukan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu kita selama ini,” katanya.
Berucap pada majlis Muafakat Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran di Dewan Tun Hamdan di sini pada Rabu, beliau berkata paling ketara pembangkang banyak memanipulasi isu dan sentimen, sedangkan BN memperjuangkan agenda pembangunan untuk rakyat.
Oleh itu, katanya, ahli peladang perlu menentukan kesinambungan agenda pembangunan itu demi masa depan negara serta generasi pelapis kelak.
Hadir sama pada program itu Menteri Mosti Datuk Madius Tangau yang juga Pemangku Presiden Upko dan calon BN bagi kerusi Parlimen Tuaran.
Mohd Nazri yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menghargai komitmen kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Hj Aman yang tidak pernah meminggirkan golongan peladang, penternak dan nelayan.
Menurutnya, ia terbukti dengan pelbagai bantuan serta kemudahan disediakan selain sambutan tetap Hari Peladang Penternak dan Nelayan (HPPN) yang disokong serta disambut setiap tahun.
“Komitmen kerajaan negeri ini adalah sealiran dengan dokongan Kerajaan Persekutuan yang mengiktiraf peranan kita sebagai penyumbang kepada sosioekonomi negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak ahli peladang di negeri ini supaya memastikan sokongan berterusan untuk kerajaan BN demi kelangsungan dan jaminan masa depan.-pr/BNN