KENINGAU: Suasana penuh warna-warni bakal menyerikan Dewan Kampung Tagai, Mukim Merampong apabila sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah peringkat mukim itu diadakan pada 23 Ogos ini, dengan pelbagai pengisian menarik yang menyasarkan penyertaan segenap lapisan masyarakat.

Program anjuran bersama pelbagai agensi itu dijangka menjadi tumpuan penduduk setempat menerusi penganjuran aktiviti bercorak keluarga dan komuniti termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan serta pemeriksaan mata percuma.

Bagi meringankan beban rakyat, turut diadakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, selain pameran dan promosi daripada syarikat serta institusi pendidikan seperti Tupperware, Kolej Geomatika Keningau, CIMB Bank dan Open University Malaysia (OUM).

Syarikat telekomunikasi Celcom dan Digi pula dijangka mengedarkan simkad percuma sepanjang program berlangsung.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Rafie Datuk Robert, Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, yang turut dijangka disertai pemimpin setempat bersama masyarakat setempat dalam suasana penuh semangat patriotisme.

Menurut wakil penganjur, sambutan itu bukan sahaja bertujuan memperingati Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, malah menjadi platform untuk memperkukuh semangat muhibah antara penduduk berbilang kaum di Mukim Merampong.

“Selain memperingati perjuangan kemerdekaan, kami mahu sambutan ini menjadi jambatan hati yang menghubungkan masyarakat dengan pemimpin, menerusi pengisian yang dekat dengan keperluan rakyat,” katanya.-pr/BNN