KENINGAU: Penduduk Kampung Toboh Laut, Bingkor kini boleh menarik nafas lega apabila jalan konkrit utama di kampung itu siap sepenuhnya, sekali gus memberi akses lebih selesa, selamat dan berkualiti terutama pada musim hujan.

Projek infrastruktur berimpak tinggi itu terlaksana hasil keprihatinan dan komitmen Datuk Robert Tawik @ Nordin, Pembantu Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, yang konsisten memperjuangkan keperluan prasarana asas bagi masyarakat luar bandar.

Kemudahan jalan baharu itu bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah memperlancar perjalanan anak-anak ke sekolah serta mengurangkan kos dan kesulitan mengangkut hasil pertanian – nadi utama ekonomi kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Toboh Laut, Nuil Gilong, berkata projek itu menjadi bukti nyata kepedulian wakil rakyat terhadap keperluan masyarakat akar umbi.

“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Robert. Jalan konkrit ini bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi simbol perhatian kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Robert menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat luar bandar, sebaliknya sentiasa memastikan pembangunan seimbang agar kesejahteraan dapat dinikmati semua lapisan rakyat.

“Pembangunan seperti ini adalah janji ditepati. Kerajaan mahu rakyat pedalaman merasai perubahan melalui projek yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya.

Di Toboh Laut, jalan konkrit yang kini terbentang bukan sekadar laluan penghubung, tetapi lambang bagaimana sentuhan kepimpinan boleh mengubah kehidupan rakyat – bukan dengan janji, tetapi dengan tindakan nyata di tanah tempat mereka berpijak.-pr/BNN