TUARAN: Usaha memartabatkan pendidikan adat di Sabah terus mendapat momentum apabila seramai 24 peserta ambilan Ogos 2025 berjaya menamatkan Kursus Asas Perguruan Guru Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Latihan Guru SAANS, Kampung Lomawang, di sini, baru-baru ini.
Kursus anjuran Makmal Hidup Sekolah Adat Negeri Sabah (MAANS-UMS) itu meliputi kuliah teori, sesi amali serta ujian bertulis. Keputusan akhir menyaksikan Gr. Jackson Korom, anak jati Dusun Gobukon dari Kota Belud, dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan.

Setiap peserta menerima sijil penyertaan yang ditandatangani bersama Shalmon Sanangan, Ahli Jawatankuasa Pakar Warisan Negara, Jabatan Warisan Negara merangkap pengasas Sunduan Nabalu, dan Prof. Madya Dr. Jeannet Stephen, Ketua Makmal Hidup (MAANS-UMS) yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorLIS), Universiti Malaysia Sabah.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu, Gelubi Guntarik, mewakili Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
Dalam ucapannya, Gelubi menegaskan kewujudan SAANS kini berada di landasan tepat menuju pendaftaran rasmi ke UNESCO dengan sokongan berterusan kerajaan negeri dan pusat.
“Usaha gigih pengasas SAANS, Shalmon Sanangan, memberi sinar baharu kepada perjuangan memartabatkan adat istiadat, sejarah dan budaya Orang Asal Sabah. Ia penting bagi menjamin kelangsungan identiti setiap etnik di negeri ini,” katanya.
Bagi peserta, kursus itu dianggap lebih daripada sekadar latihan. Stela Resiun dari Keningau berkata, pengalaman diperoleh bukan sahaja menambah ilmu, malah membina jati diri dalam memastikan generasi muda terus menghargai warisan budaya sambil memupuk perpaduan antara etnik di Sabah.
Sehingga kini, sebanyak 27 Sekolah SAANS sudah didaftarkan di seluruh negeri, membabitkan pelbagai etnik termasuk Lotud, Kadazan, Tagahas, Kimaragang, Tobilung, Liwan, Tindal, Rungus, Nabaai, Kwijau, Bookan, Paluan, Tahol, Gana, Tidung, Sandayo, Labou, Labuk dan Timugon.
Dengan semangat kesatuan guru dan warga SAANS di seluruh Sabah, harapan tinggi disandarkan agar cita-cita menjadikan Sekolah Adat sebagai model pendidikan warisan bangsa dapat direalisasikan dalam masa terdekat, sekali gus mengangkat identiti budaya Sabah ke peringkat antarabangsa.-pr/BNN





