KENINGAU: Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Mukim Merampong berlangsung meriah di Dewan Terbuka Kampung Tagai dengan pelbagai pengisian menarik yang berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat.

Program anjuran Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau (Gerak Keningau) dengan kerjasama pelbagai pihak itu bertujuan memupuk semangat patriotisme selain memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk.

Antara pengisian utama ialah Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan dan mata percuma, kempen derma darah, pameran pendidikan oleh Geomatika College Keningau serta Open University, pembukaan akaun bank oleh CIMB, tawaran sim kad percuma oleh CelcomDigi dan Hotlink, promosi Tupperware, selain Pertandingan Mewarna Kanak-kanak.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Penyelaras Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Encik Rafie Robert, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.

Beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan Dewan Terbuka Kampung Tagai yang baharu siap dibina untuk kegunaan komuniti setempat.

Dalam ucapannya, Rafie menegaskan penganjuran sambutan itu bukan sahaja mengingatkan masyarakat tentang pentingnya semangat kebangsaan, malah menjadi wadah penyatuan pelbagai lapisan rakyat.

“Semangat patriotisme adalah teras kepada keharmonian dan kemajuan negeri kita. Program seumpama ini membuktikan bahawa perpaduan dan kebersamaan masyarakat merupakan aset penting dalam membangunkan daerah serta negeri tercinta,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau dan semua rakan kerjasama yang telah berganding bahu menjayakan sambutan ini. Komitmen dan sokongan masyarakat amat saya hargai kerana inilah bukti sebenar semangat kerjasama dan kekitaan yang wajar kita pupuk bersama,” tambahnya.

Sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan setiap Ogos bertujuan memperingati perjuangan pejuang kemerdekaan serta menyemai semangat cintakan tanah air.

Manakala Hari Sabah yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun pula memperingati penubuhan kerajaan sendiri (self-government) pada 1963, sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September tahun sama.

Penganjuran di peringkat akar umbi seperti ini membolehkan masyarakat Mukim Merampong menghayati nilai sejarah, memahami erti kemerdekaan dan menjiwai semangat perpaduan. Ia juga mencerminkan komitmen bersama dalam mengukuhkan semangat kebangsaan serta mempererat silaturahim masyarakat.-pr/BNN