KENINGAU: Kepimpinan bukan sekadar membina jalan raya atau infrastruktur, sebaliknya turut terserlah melalui sokongan kepada pengisian rohani yang menjadi teras kekuatan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, terus menzahirkan keprihatinannya apabila menyokong penganjuran Program Ceramah Perdana “Keningau Berselawat Jiwa Kembali Dekat” yang berlangsung baru-baru ini di Dataran Keningau.
Bagi menjayakan program berimpak tinggi itu, Annuar menyampaikan sumbangan ikhlas kepada Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Jannah Keningau.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pemaju Masyarakat Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Hairul Ahmad Syam, mewakili beliau, dan diterima oleh Sheldan Lebay Justiniano, wakil jawatankuasa penganjur, di Pejabat UPPM Liawan.
Pihak penganjur menyifatkan sokongan itu sebagai dorongan besar dalam memastikan kejayaan program yang bertujuan mengeratkan ukhwah, menanam kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta memperkukuh nilai kerohanian masyarakat di daerah ini.
Annuar menegaskan, kepimpinan tidak hanya diukur melalui janji politik, tetapi melalui tindakan nyata yang mendekatkan pemimpin dengan rakyat di pelbagai lapisan — sama ada di jalan kampung, dewan masyarakat atau majlis kerohanian.
“Program seperti ini bukan sekadar memperkukuh keimanan, malah menjadi wadah penyatuan yang menyuburkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang latar di Keningau,” katanya.-pr/BNN





