KENINGAU: Kepimpinan berjiwa rakyat bukan sahaja diukur pada projek pembangunan, tetapi turut terpancar melalui penghargaan yang dizahirkan masyarakat dalam bentuk karya seni.
Itulah yang berlaku di Bingkor apabila seorang anak jati Apin-Apin, Robert Paulus, menzahirkan rasa hormat dan penghargaannya terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, melalui sajak berjudul “Robert Tawik @ Nordin – Denyut Bingkor, Harapan Rakyat.”
Sajak tersebut memaparkan perjalanan kepimpinan pemimpin berkenaan yang sentiasa mendahulukan rakyat tanpa mengenal penat lelah. Melalui bait awalnya, Robert Paulus menulis:
“Di bumi Bingkor kau menjejak,
Membawa harapan, cahaya dan pelita.
Setiap jalan, dewan, dan taman,
Adalah bukti kasihmu pada warga.”
Bait berkenaan secara langsung menggambarkan usaha berterusan Robert Tawik membina infrastruktur asas untuk kemudahan masyarakat, termasuk jalan raya, dewan serbaguna dan taman rekreasi.
Dalam rangkap berikut, penulis menyentuh semangat kental wakil rakyat itu:
“Tiada lelah, tiada henti,
Menyulam pembangunan, meniti janji.
Rakyat melihat, hati tersentuh,
Robert Tawik, pemimpin yang teguh.”
Ungkapan ini memberi gambaran jelas terhadap sifat kepimpinan yang konsisten turun padang, menunaikan janji serta sentiasa mendampingi masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan.
Lebih menyentuh perasaan, sajak itu turut menegaskan pengorbanan wakil rakyat berkenaan ketika bencana:
“Hujan, panas, banjir melanda,
Rakyat tetap diutamanya.
Dengan tangan membina, dengan hati menyapa,
Bersama rakyat, terus mara.”
Menurut pemerhati tempatan, karya seumpama ini bukan sekadar sebuah puisi, sebaliknya mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dengan masyarakat akar umbi di pedalaman Sabah.
Ia menunjukkan sokongan rakyat bukan hanya diterjemahkan melalui peti undi, malah turut dizahirkan dalam bentuk seni budaya.
Sajak itu ditutup dengan rangkap penuh makna yang menyifatkan Robert Tawik sebagai simbol harapan rakyat Bingkor:
“Inilah pemimpin dambaan hati,
Janji ditunaikan, amanah dipenuhi.
Robert Tawik @ Nordin berdiri,
Pemimpin sejati, pilihan murni.
Bingkor gemilang sentosa,
Kerana rakyat dan pemimpin bersama.”
Bagi masyarakat Bingkor, penghargaan berbentuk karya sebegini membuktikan nama Robert Tawik @ Nordin bukan sahaja dikenang sebagai wakil rakyat, tetapi turut terpahat sebagai simbol penyatuan harapan dan denyut kehidupan rakyat di pedalaman Keningau.-pr/BNN





