KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak lebih tegas dan adil dalam membanteras penularan maklumat palsu, penipuan siber serta buli dalam talian yang kini berkembang menjadi apa yang digelar sebagai “industri teknologi hitam”.

Ahli Majlis Tertinggi SAPP, Lim Kat Chung, berkata perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi bukan sahaja membawa kemudahan, malah turut dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu orang ramai melalui rakaman suara dan video palsu.

Beliau menjelaskan, sindiket penipuan kini mengatur kumpulan dalam talian yang kelihatan seolah-olah sebuah komuniti tulen, namun sebenarnya diwujudkan untuk memperdaya mangsa dalam modus operandi dikenali sebagai astroturfing atau “membantai babi”.

“Taktik ini sengaja mengeksploitasi kelemahan manusia – pematuhan membuta tuli dan keinginan terhadap pengiktirafan. Lebih membimbangkan, kaedah sama boleh digunakan untuk memanipulasi pendapat politik dengan membentuk gambaran palsu mengenai suara majoriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lim berkata, jika strategi sedemikian digunakan dalam pilihan raya negeri akan datang, kesannya amat buruk kerana ia mampu merosakkan asas demokrasi dengan mencipta persepsi palsu melalui bot serangan, maklumat salah dan trafik tiruan.

Beliau turut menegur SKMM yang sering dilihat lebih pantas mengambil tindakan terhadap pengkritik kerajaan berbanding menyekat penyebaran maklumat palsu dan penipuan yang nyata.

“Desakan terbaharu mengenai pengumpulan data tanpa nama juga menambahkan keraguan rakyat berikutan kekurangan ketelusan dan perlindungan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, Lim menggariskan tiga seruan utama, iaitu:

1. SKMM mesti menguatkuasakan undang-undang secara adil dan tidak memilih bulu, termasuk bertindak tegas terhadap maklumat palsu, penipuan serta bot berniat jahat.
2. Syarikat teknologi dan platform media sosial perlu memikul tanggungjawab membendung penularan kandungan salah.
3. Orang ramai digesa sentiasa berwaspada serta berfikir secara kritis, khususnya menjelang pilihan raya negeri, agar dapat membezakan kebenaran daripada kepalsuan.

“Kita mesti memutuskan rantaian keuntungan industri hitam ini. Hanya melalui kerjasama pihak berkuasa, syarikat teknologi dan rakyat, integriti maklumat serta keselamatan kewangan dapat dipelihara. Penguatkuasaan adil, sistem telus dan celik media adalah kunci untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi,” tegasnya.-pr/BNN