KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee menegaskan banjir yang melanda Likas khususnya di sekitar Dah Yeh Villa malam tadi boleh dielakkan sekiranya sistem pintu kawalan banjir dan pam berfungsi dengan baik dengan sokongan bekalan elektrik mencukupi.

Yong yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, tinjauannya pagi tadi ke tapak pintu kawalan banjir dan pam yang dibina pada akhir 1990-an mendapati kedua-dua kemudahan itu gagal berfungsi seperti sepatutnya.

“Sebahagian masalah ini berpunca daripada kekurangan bekalan elektrik ke pintu kawalan dan pam. Saya menghargai kehadiran segera pegawai kanan daripada kementerian dan jabatan berkaitan, namun pencegahan banjir di Likas perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tiga langkah penting atasi banjir

Menurut Yong, terdapat tiga tindakan utama yang perlu dilakukan segera iaitu membaik pulih serta menaik taraf pintu kawalan banjir dan pam air di Likas, membatalkan sebarang cadangan penambakan di lagun Likas yang diwartakan sebagai kolam mitigasi banjir sejak 1980-an, serta menghentikan aktiviti pemotongan bukit di Permatang Simpanan Likas.

“Sebarang pemotongan di Permatang Likas sepanjang Jalan Tuaran hanya akan meningkatkan aliran deras air hujan ke kawasan perumahan,” katanya.

Batalkan bunga api Hari Malaysia

Dalam pada itu, Yong menggesa kerajaan membatalkan persembahan bunga api sempena Hari Malaysia pada 16 September ini sebagai tanda simpati terhadap mangsa banjir di seluruh Sabah.

“Saya dapat bayangkan keadaan penduduk Kota Kinabalu, khususnya mangsa banjir, yang masih bergelut memulihkan kehidupan tetapi terpaksa mendengar dentuman kuat bunga api yang ditonton VIP.

“Adalah lebih wajar penjimatan daripada pembatalan bunga api itu disalurkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Beliau turut menegur penganjuran sambutan berskala besar yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit sejak awal tahun ini, termasuk majlis ‘countdown’ Tahun Baharu 2025.

Yong pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas dari 1985 hingga 2000 dan Ketua Menteri Sabah dari Mei 1996 hingga Mei 1998.-pr/BNN