KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari inimelawat beberapa kawasan yang teruk terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Beaufort, Bongawan, Papar, Kinarut, Penampang dan di sini.

Hajiji terlebih dahulu melawat Dewan Raya Tandugal Kampung Mook di Kinarut dimana beliau bertemu dengan Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isterinya, Emily Johnny, 38, dan anaknya, Xarell Myre Aristhotle, 11, apabila rumah mereka dihempap runtuhan tanah akibat hujan lebat pada 15 September.

Beliau menyampaikan sumbangan termasuk bantuan kepada Aristhotle dan adik- beradiknya untuk membaiki rumah mereka sebelum melawat lokasi tragedi tersebut.

Selepas itu, Ketua Menteri meneruskan lawatan ke Dewan Kampung Marahang, Papar di mana beliau bertemu dengan Benney Binjamis @ Emis yang kehilangan isterinya, Wong Moi Ling @ Meymey, 34, serta dua anak mereka, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6, yang terkorban apabila rumah mereka dihempap tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul pada pagi 15 September.

Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada Benney dan keluarganya. Kemudian, Hajiji ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Salagon di Beaufort untukmenyampaikan bantuan kepada mangsa banjir melibatkan 83 keluarga dan kepada 56 keluarga lagi di Dewan Masyarakat Bongawan.

Pada sebelah petang, Ketua Menteri meninjau perumahan Country Heights dan Institut Pendidikan Guru Gaya yang turut terjejas akibat tanah runtuh.-pr/BNN