KENINGAU: “Di sebalik setiap kejayaan anak muda, terselit harapan sebuah keluarga dan doa sebuah komuniti.”
Semangat itulah yang dizahirkan apabila seorang pelajar dari Liawan, Lilyvia Venezia Asun, menerima sumbangan ikhlas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, sebagai tanda sokongan sebelum berangkat ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
Lilyvia yang akan menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian menerima sumbangan berkenaan sebagai dorongan untuk terus berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Tadbir Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Linda Mausin, yang mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas tetapi penuh makna dihadiri keluarga terdekat dan wakil komuniti setempat.
Menurut wakil UPPM Liawan, pemberian itu bukan sekadar simbolik, tetapi bukti keprihatinan wakil rakyat terhadap anak muda yang membawa nama baik kawasan Liawan.
“Setiap kejayaan pelajar seperti Lilyvia adalah kebanggaan bersama kerana mereka inilah generasi pelapis yang akan memimpin pada masa depan,” katanya.-pr/BNN





