KOTA KINABALU: Semua mangsa banjir di Kota Kinabalu wajar menerima bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 setiap isi rumah tanpa mengira sama ada mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Gee Tien Siong berkata, syarat bantuan hanya diberikan kepada keluarga di PPS adalah tidak adil kerana ramai penduduk terjejas terpaksa menanggung kerugian besar walaupun tidak berpindah ke pusat pemindahan.
“Ramai mangsa di Dah Yeh Villa dan Lido berlindung di tingkat atas rumah masing-masing atau menumpang di rumah saudara-mara. Mereka turut mengalami kerugian akibat kerosakan lantai, perabot dan peralatan elektrik. Mengapa mereka harus diketepikan daripada bantuan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Gee turut mempersoalkan peranan wakil rakyat DAP yang menjadi menteri dan pembantu menteri di Kota Kinabalu, kerana menurutnya mereka lebih gemar merakam video di kawasan banjir untuk tujuan promosi diri berbanding membantu mangsa memohon bantuan.
Beliau menegaskan, Timbalan Menteri Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu perlu memastikan sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri sampai kepada mangsa di bandar raya ini.
“Apa yang benar-benar diperlukan mangsa ialah wang bantuan untuk meringankan beban, bukan sekadar wayang politik,” katanya.
Justeru, Gee menggesa kerajaan melayan semua isi rumah yang terjejas banjir secara adil serta memastikan setiap keluarga terbabit menerima bantuan dan sokongan sewajarnya.-pr/BNN





