KENINGAU: Mini Bazaar Komuniti Belia Katolik (KBK) Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes (GBMRL) Komuniti Umat Katolik (KUK) Agudon berlangsung meriah dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang turut sama memeriahkan program berkenaan.
Annuar berkata, penganjuran mini bazaar bukan sahaja membuka ruang keusahawanan kepada masyarakat setempat, malah menjadi jambatan penting dalam memperkukuh silaturahim sesama komuniti.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan program ini. Mini bazaar sebegini menjadi platform penting untuk usahawan kecil mempamerkan produk mereka, di samping menghidupkan ekonomi komuniti secara langsung,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan penyertaan meriah dan sambutan hangat yang diberikan masyarakat setempat.
Katanya, mini bazaar seumpama ini bukan sekadar ruang jual beli, sebaliknya berfungsi sebagai tapak perpaduan yang menghubungkan rakyat dengan semangat kebersamaan.
“Mini bazaar ini bukan sekadar tapak jualan, tetapi jambatan hati komuniti,” tegasnya.-pr/BNN





