TAMBUNAN: Kedudukan rumah yang terlalu rapat, risiko kebakaran tinggi, kemudahan asas terhad dan masalah kesihatan menjadi realiti harian lebih 5,000 penduduk Kampung Sunsuron, di kawasan seluas 72 ekar.
Bagi menangani isu itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menegaskan penstrukturan semula perkampungan tersebut perlu dilaksanakan segera demi keselamatan, keselesaan dan masa depan generasi setempat.
“Kita mahu memastikan Sunsuron menjadi perkampungan yang lebih tersusun, selamat, moden dan kondusif untuk didiami. Rumah akan diberikan nombor, kemudahan rekreasi dipertingkatkan, manakala risiko bencana dapat dikurangkan,” katanya ketika berucap pada Dialog Bersama Penduduk Kg. Sunsuron di Dewan Datuk John Gaisah, di sini semalam.
Dr Jeffrey turut mengumumkan cadangan pembinaan pusat penempatan sementara serta pembangunan Pekan Baharu Tambunan berkonsepkan Smart City di Kaingaran, berhampiran Gunung Trusmadi.
Menurut beliau, projek itu akan membuka peluang lebih luas kepada generasi muda memiliki rumah sendiri selaras dengan aspirasi pembangunan moden Tambunan.
Dalam masa sama beliau mengingatkan penduduk supaya menjaga kelestarian alam sekitar, khususnya sungai dan kawasan bukit yang berisiko tanah runtuh jika diteroka tanpa kawalan.
Aspek kesihatan turut diberi perhatian, dengan penduduk digalakkan mengamalkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) termasuk mengawal pemakanan, mengurangkan gula, menjaga kesihatan gigi, menjalani pemeriksaan berkala dan mengelakkan pengambilan alkohol berlebihan.
Dialog berkenaan juga menjadi wadah penduduk menyuarakan cadangan, persoalan serta keperluan semasa mereka bagi memastikan pembangunan kampung dilaksanakan secara menyeluruh dan berpandukan keperluan sebenar masyarakat.
Sebagai tanda penghargaan, Dr Jeffrey menyampaikan sumbangan kepada atlet angkat berat muda, Irene Jane Henry dari Sunsuron, yang berjaya meraih satu pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025 di Gold Coast, Australia, sekali gus mengharumkan nama Tambunan dan Sabah.
Dr Jeffrey optimis penstrukturan semula itu akan menjadikan Kg. Sunsuron lebih teratur, maju dan mampan, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan, kemudahan asas serta peluang masa depan anak muda.-pr/BNN





