KENINGAU: Program santai “Mirumo-Rumo” yang bermaksud berjumpa sambil santai dalam bahasa Dusun, semalam berjaya mengeratkan hubungan antara pemimpin dan komuniti Cina di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mottou, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan.
Program yang dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman bersama isterinya, YM Tengku Adlina Marita Tengku Adlin itu berlangsung dalam suasana mesra penuh keakraban, mencerminkan pendekatan turun padang beliau yang sentiasa dekat dengan rakyat.
Turut hadir Ketua Masyarakat Cina (KMC) dan Pengerusi Persatuan Hakka Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming; Kapitan Misha Ho; Kapitan Ronny Hiew; Pengerusi Pertubuhan Sze Yi Keningau, Datuk Peter Ma Kin Yee; serta beberapa tokoh masyarakat Cina lain yang menzahirkan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh keharmonian pelbagai kaum di daerah ini.
Dalam ucapannya, Annuar menegaskan bahawa program tersebut bukan sekadar ramah mesra, tetapi wadah untuk mendengar suara rakyat secara lebih dekat.
“Hanya dengan memahami keperluan sebenar masyarakat, kita mampu merancang pembangunan yang seimbang dan memberi manfaat kepada semua kaum,” katanya.
Beliau turut menghargai sumbangan besar masyarakat Cina dalam aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan perpaduan sosial di kawasan Liawan, selain menegaskan komitmen memastikan suara komuniti itu terus diberi perhatian oleh kerajaan.
Program santai itu menjadi jambatan penting untuk memperkukuh hubungan pemimpin dengan rakyat, membina kerjasama serta meneguhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Annuar menutup majlis dengan pesanan jelas bahawa setiap pertemuan dan interaksi dengan rakyat merupakan asas kepada perpaduan.
“Setiap pertemuan, setiap senyuman dan setiap perbualan adalah jambatan kepada keharmonian. Komuniti PDM Mottou harus terus maju, harmoni dan bersatu padu,” katanya.
Program “Mirumo-Rumo” itu sekali lagi membuktikan bahawa Liawan bukan sahaja bergerak ke hadapan dari sudut pembangunan fizikal, tetapi juga terus memelihara perpaduan sebagai teras kekuatan masyarakatnya.-pr/BNN





