KENINGAU: Prihatin terhadap keperluan masyarakat luar bandar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, menyalurkan sumbangan dua unit pembetung (culvert) bagi membina laluan masuk ke kawasan tanah perkuburan di Kampung Tonobon Baru, Kampung Bunga Raya dan Kampung Kodop Baru.
Penyediaan laluan berkenaan dianggap penting bagi memudahkan urusan masyarakat kampung termasuk membawa bahan binaan serta kelengkapan lain ke kawasan perkuburan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tonobon Baru, Clanrence Jakobus, yang mewakili penduduk, menzahirkan penghargaan kepada Robert kerana memberi perhatian terhadap keperluan asas kampung itu.
“Dengan adanya laluan ini, penduduk tidak lagi berdepan kesulitan untuk mengangkut bahan binaan dan keperluan lain ke tanah perkuburan. Sumbangan ini amat bermakna kerana ia menyelesaikan masalah yang sudah lama kami hadapi,” katanya.
Sementara itu, Robert menegaskan bahawa penyediaan kemudahan asas seperti laluan ke tanah perkuburan adalah sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan kesejahteraan masyarakat terus terbela.
“Sebagai wakil rakyat, saya mahu memastikan kampung-kampung di kawasan Bingkor tidak ketinggalan dalam pembangunan asas. Dengan kerjasama berterusan antara kerajaan dan rakyat, lebih banyak projek kecil tetapi signifikan dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar,” katanya.-pr/BNN





