KENINGAU: Prihatin terhadap kebajikan pelajar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik @ Nordin, menyalurkan sumbangan kewangan kepada seorang pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Adik Anddy Edmund.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Bingkor, Maileh Lajiwat, yang mewakili Robert. Ia bertujuan membantu meringankan sebahagian keperluan Anddy semasa pendaftaran masuk ke universiti.
Anddy menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat itu atas keprihatinan terhadap anak muda Bingkor yang melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Dengan adanya sumbangan ini, bebanan keluarga kami sedikit sebanyak dapat dikurangkan. Saya amat menghargai sokongan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, Robert menegaskan bahawa pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda beliau sebagai wakil rakyat.
“Pendidikan adalah aset paling berharga untuk masa depan generasi kita. Saya mahu melihat lebih ramai anak-anak Bingkor berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN





