KENINGAU: Keprihatinan seorang pemimpin bukan sekadar terletak pada janji, tetapi pada tindakan nyata yang memberi sinar harapan kepada rakyat. Itulah yang dizahirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, apabila terus menyalurkan sumbangan kepada masyarakat pelbagai lapisan di kawasan itu.

Dalam sebuah majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Annuar melalui Pemaju Mukim Patikang, Zailani Abdullah, menyampaikan bantuan kepada adik Chrischelin Jane Christlopez yang sedang berdepan masalah kesihatan.

Bantuan itu diterima ayahnya, Christlopez Tadjang, yang menzahirkan rasa syukur atas perhatian pemimpin tersebut.

“Setiap ujian ada jalan keluar, dan dalam perjuangan sebuah keluarga, pemimpin akan tetap ada di sisi mereka,” kata Zailani ketika ditemui.

Tidak terhenti di situ, Annuar turut menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Isteri, Anak dan Anggota Serta Kakitangan Wanita Penjara (PERSIAP) Keningau yang bakal menyertai Kejohanan Sukan Tahunan PERSIAP 2025 di Tawau, Oktober depan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pembantu Tadbir UPPM Liawan, Linda Mausin, dan diterima Ketua Biro Sukan PERSIAP Keningau, Kelly Mantin, yang merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan pemimpin Liawan itu.

Dalam pada itu, Annuar melalui Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian, menyerahkan sumbangan kepada Komuniti Kristian Dasar (KKD) Santa Perawan Maria Bonda Allah Taman Juta.

Sumbangan berkenaan bertujuan membantu KKD menyertai Tamu Solidariti pada 5 Oktober ini di Dataran Dewan Kekitaan Rumah Retreat Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT), sekali gus mengumpul dana bagi pembinaan Katedral SFX. Ia diterima oleh Wakil Pengerusi KKD, Relissha Ann Vitalis, yang turut menegaskan sumbangan itu menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat.

Kesinambungan bantuan ini menyerlahkan gaya kepimpinan Annuar yang berasaskan tindakan nyata – bukan sekadar retorik – selaras dengan misinya membina Liawan yang terurus, maju dan sejahtera.

Bagi Annuar, setiap huluran bukan sekadar bantuan material, tetapi jambatan hati yang menghubungkan pemimpin dengan rakyat, mencerminkan nilai kebersamaan, perpaduan dan harapan yang sentiasa menyala.-pr/BNN