KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menegaskan rakyat Sabah dan Sarawak adalah raja sebenar dalam menentukan hala tuju negeri, bukannya parti-parti Semenanjung yang mendakwa boleh menjadi “kingmaker” politik di negeri ini.
Ahli Majlis Tertinggi SAPP merangkap Naib Ketua Pemuda, Peguam Yong Yit Jee berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Harapan masih boleh menjadi penentu kuasa di Sabah membuktikan bagaimana parti luar terus melihat Sabah sebagai bidak dalam permainan kuasa persekutuan.
Menurutnya, janji PMX untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak tidak memberi makna sekiranya nisbah satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat tidak dimasukkan dalam Perlembagaan.
“Selagi nisbah ini tidak dijamin, Malaya boleh menambah kerusinya sendiri sehingga menenggelamkan suara Sabah dan Sarawak. Ini jelas bertentangan dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Yong turut membangkitkan pengakuan Setiausaha Politik Anwar, Chan Ming Kai, dalam satu podcast bahawa jika Malaysia Timur memiliki 35 peratus kerusi Parlimen, ia akan “menyukarkan mereka untuk menang”.
“Pengakuan itu membuktikan janji menambah kerusi hanyalah samar tanpa jaminan peratusan yang jelas,” katanya.
Tambahnya, isu perwakilan bukan sekadar jumlah kerusi, sebaliknya turut melibatkan hak ekonomi.
“Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin Sabah 40 peratus pulangan hasil cukai bersih persekutuan, namun sehingga kini Putrajaya masih bertangguh meskipun beberapa keputusan mahkamah memihak kepada Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, tanpa hak hasil yang sewajarnya, peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan hanyalah “cebisan” daripada sumber Sabah sendiri.
Sehubungan itu, Yong menyeru rakyat Sabah menolak retorik “kingmaker” oleh parti-parti berasaskan Malaya.
“Rakyatlah raja sebenar, bukan gabungan politik dari Semenanjung. Masa depan kita tidak boleh diputuskan di bilik mesyuarat Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, menjelang pilihan raya negeri, rakyat perlu bersatu di belakang parti-parti tempatan yang benar-benar kukuh dan tulen.
“Undilah parti yang sanggup memperjuangkan peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen, menuntut semula 40 peratus hasil cukai, dan mempertahankan autonomi Sabah sebagaimana dijanjikan dalam MA63,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat untuk bangkit bersama: “Rebut semula suara satu pertiga. Tunaikan MA63 sekarang — atau masa depan kita akan ditentukan tanpa kita.”-pr/BNN





