KUANTAN: Pasukan Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) melakar sejarah apabila menamatkan saingan Kejohanan Mr Malaysia Ke-54 dengan pencapaian terbaik sepanjang penyertaan, iaitu di tempat keempat keseluruhan.
Kontinjen Sabah membawa pulang lapan pingat – tiga emas, tiga perak dan dua gangsa – sekali gus mengatasi sasaran awal dua emas pada kejohanan yang berlangsung dari 25 hingga 29 September di Kuantan, Pahang.
Pemenang emas adalah Mohd Hakimi Abdullah (Master Bawah 70kg), Affan Affandy Sazali (Men’s Sport Physique Atas 170cm) dan Martin Magalai (Flyweight Atas 60kg).
Pingat perak diraih Mohammad Asraf Hamza (Men’s Sport Physique Bawah 170cm), Tony Meldan Masabal (Light Flyweight 55kg ke atas) dan Allen Carlson Aloysious Sern (Middleweight 85kg), manakala gangsa dimenangi Wandy Anjum (65kg ke atas) serta Grace Voo (Light Heavyweight 90kg).
Presiden SBBA, Clarence Runggi, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti Sabah kini semakin digeruni dalam arena bina badan negara.
“Buat pertama kali dalam sejarah, Sabah menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan. Ini pencapaian terbaik kita di pentas Mr Malaysia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada atlet, jurulatih, pegawai serta sokongan Majlis Sukan Negeri Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
Mr Malaysia merupakan kejohanan bina badan paling berprestij tanah air yang menghimpunkan jaguh-jaguh terbaik dari seluruh negara.-pr/BNN





