KENINGAU: Usaha memperkasa generasi muda dalam bidang pendidikan dan sukan terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, apabila beliau menyalurkan sumbangan kewangan kepada tiga anak muda dari kawasan itu yang berjaya mengharumkan nama Bingkor melalui pencapaian masing-masing.

Dalam satu majlis ringkas, sumbangan disampaikan melalui wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor kepada tiga penerima iaitu Ivana Elysa Dabie, Elvina Edward dan Jetty Jamilik.

Ivana Elysa Dabie menerima sumbangan kewangan daripada Robert melalui wakilnya, Fredoline @ Tad Jack, bagi membiayai persiapan menyertai 1st Progressive FIG Championship di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Robert dalam ucapannya berharap Ivana dapat memberi tumpuan penuh dalam pertandingan itu dan seterusnya meraih kejayaan cemerlang sekali gus mengangkat nama Bingkor di pentas kebangsaan.

Sementara itu, Elvina Edward dari Kg. Liau Ulu turut menerima bantuan selepas ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam perutusannya, Robert mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Elvina serta menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar itu yang sentiasa menyokong pendidikan anak mereka. Beliau berharap kejayaan Elvina akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain di Bingkor.

Penerima ketiga, Jetty Jamilik, yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, turut menerima bantuan kewangan daripada ADUN Bingkor.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan persediaan pendaftaran Jetty ke kampus. Pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan anak-anak kita. Setiap kejayaan pelajar dari Bingkor adalah kebanggaan bersama,” kata Robert.

Mewakili keluarga Jetty, ibunya Puan Dorinsim Guntidong menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan wakil rakyat tersebut yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak muda dalam bidang akademik dan sukan.

Robert menegaskan bahawa pendidikan dan pembangunan bakat belia adalah teras utama dalam membina masa depan masyarakat.

“Saya berharap generasi muda kita terus gigih berusaha, mencapai kejayaan dan akhirnya kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN