KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah mengesyorkan tiga cadangan Penambahbaikan Tatakelola kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhubung isu permohonan lesen perniagaan menggunakan surat perwakilan kuasa di DBKK.
Cadangan itu ialah mewujudkan satu kaedah pemeriksaan balas terhadap permohonan lesen perniagaan terutamanya permohonan yang menggunakan surat wakil kuasa dan garis panduan berkenaan pengantunggan serta pembatalan lesen perniagaan yang mempunyai aduan di mana sebuah jawatankuasa dibentuk untuk membuat keputusan dengan teratur misalnya Jawatankuasa Penentuan Pengantungan Lesen dan Jawatankuasa Pembatalan Lesen.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata cadangan lain termasuk menguatkuasakan tindakan untuk pemeriksaan balas dengan pemilik lesen berkenaan status terkini lesen perniagaan yang didaftarkan dan aktiviti perniagaan dijalankan.
Beliau berkata, SPRM Sabah mengesyorkan cadangan ini berdasarkan siasatan awal berdasarkan aduan yang diterima pada tahun lalu mendapati berlaku pemalsuan dokumen yang digunakan untuk mendaftarkan syarikat di DBKK dan Pejabat Daerah di sekitar Sabah.
“Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati wujud kelemahan di dalam permohonan ini di mana pemilik-pemilik syarikat yang dikesan mengesahkan tidak pernah memohon, memberi atau mengarahkan mana-mana individu menggunakan dokumen peribadi bagi tujuan mendaftarkan syarikat di DBKK.
“Selain itu, pemilik syarikat tidak tahu nama dan salinan kad pengenalan mereka telah digunakan untuk permohonan lesen perniagaan di DBKK,” katanya ketika Sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola oleh Cawangan Penyiasatan Tatakelola (CPT) SPRM kepada DBKK di Bilik Mesyuarat Mayor DBKK, di sini hari ini.
Sementara itu, cadangan penambahbaikan berkenaan telah disambut baik oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon dan bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi, Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham dan wakil Bahagian Integriti Dan Governans Negeri Sabah, Andrea Abidin Madingkir. – pr/BNN





