KENINGAU: Dalam semangat bahasa ibunda Kadazan Dusun Murut (KDM), ungkapan “Pounsikou Togumu” — yang bermaksud “terima kasih yang tulus” — bergema di Kampung Pamalan apabila penduduk menzahirkan penghargaan mendalam terhadap jasa dan keprihatinan mantan wakil rakyat Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Bagi penduduk kampung itu, kepimpinan Annuar bukan sekadar meninggalkan projek fizikal, tetapi membina legasi kepedulian yang terus hidup di hati rakyat.

Mantan Pengerusi JKKK Kampung Rancangan Pamalan, Yunus Mein, berkata walaupun Annuar tidak lagi bergelar wakil rakyat, namun hasil kepimpinan beliau masih dirasai hingga ke hari ini.

“Sempat juga gelanggang ini siap… Terima kasih atas semua yang Datuk telah luluskan di kampung kami — tiga jalan konkrit, satu jalan kebun, bonggol jalan, tiga sistem perparitan konkrit, pagar balairaya, lampu jalan, tangki air surau, lampu solar Tamu Jamil, lampu solar surau, peralatan dapur, penambahan bangunan surau, rumah SMJ, dua unit penghawa dingin untuk surau, peralatan sukan untuk belia dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui.

Tambah Yunus, setiap projek yang dilaksanakan mencerminkan komitmen dan keikhlasan Annuar dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat, bukan hanya semasa memegang jawatan, tetapi sebagai satu tanggungjawab berterusan terhadap masyarakat.

Mengulas suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Yunus menegaskan bahawa sokongan penduduk terhadap kepimpinan Annuar kekal kukuh dan tidak berbelah bahagi.

“Kami yakin PRN kali ini masih kekal milik Annuar. Hiti koi tolikud nu, GRS onsoi — berdiri teguh di belakang kepimpinan Annuar, GRS tetap yang terbaik,” ujarnya penuh semangat.

Beliau menyeru agar penduduk Liawan terus bersama kepimpinan yang telah terbukti menabur bakti serta membawa kemajuan nyata kepada rakyat di pelbagai peringkat.

Bagi masyarakat Pamalan, jasa tidak semestinya diukur dengan jawatan, tetapi pada hati yang tidak pernah berhenti memberi.

Sentuhan keprihatinan seorang pemimpin seperti Annuar Ayub terus menyala dalam doa rakyat — di setiap jalan yang terbina, di setiap surau yang terang, dan di setiap wajah yang tersenyum hasil kepimpinannya.

Itulah jambatan kasih antara pemimpin dan rakyat — jambatan yang tidak pernah runtuh, dibina atas dasar keikhlasan dan kasih sayang tulen seorang pemimpin rakyat.-pr/BNN