KENINGAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bandukan Baru menzahirkan penghargaan kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, atas sumbangan besar beliau dalam memperkukuh pembangunan dan kemudahan asas di kampung berkenaan.

Mantan Pengerusi JKKK Kampung Bandukan Baru, Jabirin Lamusik, berkata pelbagai projek inisiatif Robert telah memberi impak nyata kepada kesejahteraan penduduk luar bandar.

Antara projek utama yang dilaksanakan termasuk pembinaan Dewan Terbuka, jalan konkrit sepanjang 700 meter, parit konkrit 90 meter dengan tiga culvert, serta projek baharu siap September lalu melibatkan jalan konkrit tambahan 150 meter dan gelanggang sepak takraw lengkap dengan lampu solar.

“Kami amat menghargai keprihatinan Datuk Robert yang sentiasa mendahulukan keperluan asas rakyat luar bandar. Usaha beliau memberi manfaat besar kepada kehidupan seharian penduduk,” katanya.

Menurut Jabirin, kepimpinan Datuk Robert mencerminkan semangat slogannya “Bingkor Membangun Bersama Rakyat” yang diterjemahkan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi, bukan sekadar retorik politik.

Beliau turut berharap kesinambungan pembangunan yang diasaskan oleh Datuk Robert akan diteruskan demi kemajuan DUN Bingkor.

“Kami mendoakan agar beliau terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus berbakti kepada rakyat,” katanya.-pr/BNN